Kemas tambah kelas pendidikan awal kanak-kanak Mac tahun depan - Ahmad Zahid

Kemas tambah kelas pendidikan awal kanak-kanak di 53 premis pembelajaran sedia ada bermula Mac tahun depan. - Foto Bernama
Kemas tambah kelas pendidikan awal kanak-kanak di 53 premis pembelajaran sedia ada bermula Mac tahun depan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menambah kelas bagi operasi pendidikan awal kanak-kanak di 53 premis pembelajaran sedia ada bermula Mac tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pengoperasian itu akan melibatkan kos berjumlah RM3.1 juta setahun meliputi pembayaran gaji, utiliti, geran perkapita dan bantuan makanan tambahan.

"Peluasan pengoperasian ini melibatkan tambahan kelas di premis sedia ada yang mendapat permintaan tinggi dan langkah ini dijangka akan memberikan pertambahan akses pendidikan berkualiti serta bermanfaat kepada lebih 1,300 kanak-kanak.

"Langkah ini diharap dapat meringankan beban kos pendidikan pra-sekolah yang perlu ditanggung oleh ibu bapa ketika ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan cadangan pembinaan 10 pusat pendidikan awal kanak-kanak Kemas bagi tahun 2024 dengan kos berjumlah RM30.7 juta.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini, terdapat 10,693 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas dan 563 taman asuhan kanak-kanak (Taska) di seluruh negara, dengan kedua-duanya menawarkan pendidikan kepada lebih 228,000 kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun melibatkan 12,160 tenaga pengajar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pelantikan baharu bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan akan dibuat pada bulan Januari depan.

Beliau berkata, kecuali Sarawak, pelaksanaan JPKKP itu telah dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat 12 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

"Negeri-negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan yang lain kita mengguna pakai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Untuk Sarawak kerajaan setuju kekal dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)... ini satu keistimewaan untuk Sarawak,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan JKKK di Sarawak adalah melalui Kerajaan Negeri sendiri selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM). - Bernama