Abdul Hadi melampau, tak wajar samakan PH dengan Israel - Amanah

Ismail (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar pada petang Khamis.
Ismail (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar pada petang Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kenyataan melampau oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang wajar disiasat kerana menyamakan kerajaan Malaysia dengan kerajaan Israel.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu berbaur hasutan selain menyemai kebencian masyarakat beragama Islam terhadap Kerajaan Perpaduan apabila mengaitkan dengan Israel.

Menurutnya, kenyataan seumpama tidak sewajarnya dibiarkan susulan ia menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Kenyataan Abdul Hadi sangat melampau, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan segera kerana kenyataan itu menyamakan Pakatan Harapan (PH) sama seperti orang munafik ketika zaman Nabi Muhammad SAW, ia adalah fitnah.

“Saya harap siasatan dibuat terhadap Abdul Hadi berhubung kenyataan beliau yang dilaporkan dalam akhbar Harakah pada Rabu lalu,” katanya di sini pada Jumaat.

Susulan itu, satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar pada petang Khamis.

Penulisan Abdul Hadi itu disiarkan dalam Minda Presiden Pas bertajuk 'Cara orang munafik menentang Islam diikuti Israel dan PH' disiarkan di laman Facebook Pas pada Rabu.

Jelas Ismail, penulisan Abdul Hadi itu juga merupakan satu bentuk penderhakaan dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga menunjukkan sikap derhaka Presiden Pas terhadap keputusan baginda serta Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Ismail tegaskan, polis wajar membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan sebarang aktiviti yang mengancam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun; atau mana-mana seksyen bersesuaian.