'Tiada perpecahan UMNO Bahagian Tanjong Karang' - Ustaz Khir

Mohamad Khir (tengah) beramah-mesra bersama peniaga di Pekan Tanjong Karang pada Sabtu.
Mohamad Khir (tengah) beramah-mesra bersama peniaga di Pekan Tanjong Karang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, Mohamad Khir Ramli menolak dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam kalangan kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Mohamad Khir atau lebih mesra disapa Ustaz Khir berkata, tiada perselisihan faham mengenai pencalonan beliau di kerusi DUN itu dan semuanya diterima dengan hati terbuka.

"Saya akui selaku calon muka baharu kurang popular, tetapi dengan sokongan padu jentera termasuk daripada komponen Kerajaan Perpaduan amat kukuh dan saya yakin isu perpecahan tidak timbul," katanya ketika ditemui di Pekan Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai perjalanan kempen PRN, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang itu memberitahu, kempen ketika ini berjalan lancar dan jentera parti itu kini sudah memasuki 'gear' lima bagi memastikan kerusi DUN Sungai Burong kekal milik BN.

Malah, ujar beliau, kempen itu turut menerima bantuan daripada UMNO Bahagian Ledang dan Sembrong (Johor) selain Pensiangan serta Penampang (Sabah).

Ditanya mengenai fokus beliau jika memenangi kerusi DUN itu, Mohamad Khir memberitahu, beliau mempunyai visi jelas iaitu berhasrat menjadikan DUN Sungai Burong sebagai lokasi agro pelancongan dan pertanian.

Jelasnya, potensi itu ada dan perlu diberi perhatian terutama bagi meningkatkan lagi tarikan pelancong dengan kewujudan lebih banyak inap desa serta kepelbagaian tanaman termasuk sawah padi serta sayuran.

"Selain meningkatkan sosio ekonomi dan peluang pekerjaan, saya tidak mahu golongan muda terus keluar bekerja di bandar lain," jelas beliau.

Pada PRN ini, Mohamad Khir berdepan saingan dua penjuru menentang calon PN-Pas, Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang dan personaliti agama.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN) dengan majoriti 2,330 undi menewaskan Mohd Zamri dan calon PKR, Mohd Tarmizi Lazim.