'Jangan putar belit kenyataan' - Saifuddin

Saifuddin (tengah).
Saifuddin (tengah).
A
A
A

TANJUNG MALIM - Semua pihak diingatkan supaya tidak memutarbelitkan kenyataan berhubung isu penguasaan bahasa Melayu terutama dalam memperbaharui pasport.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada sebarang penolakan permohonan direkodkan kerana gagal menguasai bahasa kebangsaan itu.

"Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu. Jadi Lawyers for Liberty (LFL) tidak perlu spin (putar belit) lebih daripada itu.

"Hakikatnya tiada penolakan permohonan pasport kerana bahasa, kita masih keluarkan malah jumlah pasport yang kita keluarkan tahun ini adalah 2.3 juta.

"Kalau ada penolakan pun contohnya mereka pemegang pasport negara melakukan kesalahan di luar seperti tinggal lebih masa, apabila membuat permohonan semula pasport sudah semestinya ada semakan dan mereka mungkin berakhir tidak lulus," katanya.

Saifuddin melancarkan SPD di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, Slim River pada Khamis.
Saifuddin melancarkan SPD di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, Slim River pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim di sini pada Khamis.

Hadir sama, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Mohamad; Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin menegaskan bahawa menjadi kewajipan kepada setiap warganegara untuk menguasai bahasa Melayu.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi manakala bahasa lain bebas dipelajari. Jadi kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling rendah atau minimum bolehlah berbahasa.

"Kepada LFL atau pihak lain tidak perlu putar belit sebaliknya yang saya anjurkan adalah setiap warganegara termasuk LFL utamakan dahulu bahasa Melayu," katanya.

Tambah beliau, tidak pernah menjadi amalan Jabatan Imigresen menolak permohonan kerana bahasa.

Terdahulu, media melaporkan LFL membidas Saifuddin kerana membela seorang pegawai imigresen yang memarahi seorang wanita dan anak perempuannya di Johor kerana tidak fasih dalam bahasa Melayu.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peguam itu, tiada keperluan bagi warganegara Malaysia yang secara rutin memohon pasport untuk menunjukkan kecekapan dalam berbahasa Melayu.