Pertumbuhan KDNK dijangka naik kepada 4.7 peratus pada 2024 - MIDF Research

Pertumbuhan KDNK disokong oleh pemulihan dalam perdagangan luar dan pertumbuhan yang mampan dalam permintaan domestik. - Gambar hiasan
Pertumbuhan KDNK disokong oleh pemulihan dalam perdagangan luar dan pertumbuhan yang mampan dalam permintaan domestik. - Gambar hiasan
A
A
A

MIDF Research menjangkakan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 4.7 peratus pada 2024, disokong oleh pemulihan dalam perdagangan luar dan pertumbuhan yang mampan dalam permintaan domestik.

Pengarah dan Ketua Srateginya, Imran Yassin Md Yusof berkata, keadaan pasaran pekerjaan yang positif, pertumbuhan pendapatan dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan juga akan menyokong prospek perbelanjaan domestik.

"Selain itu, penstabilan dasar monetari di negara-negara utama, pemulihan yang lebih kukuh di China dan harga komoditi global yang menyokong dijangka meningkatkan bahagian luar Malaysia pada 2024,” katanya pada pembentangan ‘2024 Market Outlook Presentation: Cruising Along’ pada Khamis.

Beliau berkata, firma penyelidikan itu optimistik tetapi berhati-hati mengenai prospek pertumbuhan pasaran ekonomi dan ekuiti untuk 2024 walaupun pada kadar yang stabil dengan banyak faktor yang mempengaruhi 2023 seperti inflasi dan kadar faedah yang kelihatan semakin berkurangan.

Imran berkata, harga komoditi dijangka kekal stabil dengan unjuran bagi kedua-dua harga minyak sawit mentah dan minyak Brent kepada purata masing-masing sebanyak RM3,600 satu tan metrik dan AS$84 setong (AS$1=RM4.68) untuk tahun depan.

"Ekonomi domestik dijangka bertunjangkan oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, aktiviti berkaitan pelancongan yang lebih sibuk dan pembinaan projek infrastruktur.

"Pasaran pekerjaan Malaysia kekal dalam keadaan baik seperti yang dicerminkan oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor pekerjaan, penurunan dalam pengangguran dan kadar pengangguran yang lebih rendah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa kadar inflasi diunjurkan berlegar melebihi 3.0 peratus tahun depan dalam persekitaran pelancaran subsidi bahan apa bersasar.

Artikel Berkaitan:

Pertumbuhan gaji sebenar dijangka kekal positif walaupun kadar inflasi dijangka lebih tinggi berikutan usaha rasionalisasi subsidi, katanya.

Daripada segi ekonomi global, Imran berkata pertumbuhan pada 2024 akan kekal sederhana, di bawah purata pertumbuhan 3.8 peratus yang dicatatkan dalam tempoh 2010-2019 kerana dikekang oleh beberapa risiko penurunan termasuk pengetatan dasar oleh bank pusat untuk menangani inflasi dan geopolitik risiko.

"Walaupun aktiviti pengeluaran di peringkat global boleh meningkat, pulih daripada paras terendah tahun ini, perbelanjaan pengguna akan kekal sebagai faktor utama untuk menyokong pertumbuhan tahun depan berikutan inflasi yang berkurangan, pasaran buruh yang stabil dan peningkatan pendapatan," katanya.

Bagi negara-negara perdagangan, beliau berkata prospek pertumbuhan akan lebih menggalakkan pada 2024, mendapat manfaat daripada pemulihan dalam aktiviti pengeluaran dan perdagangan global tetapi berkemungkinan dihadkan oleh jangkaan kelembapan dalam permintaan daripada negara-negara maju.

"Faktor kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat mungkin tidak berlaku pada 2024 dan MIDF Research menjangkakan pemulihan ekonomi China akan berterusan sehingga 2024, menyokong pemulihan perdagangan luar Malaysia,” katanya. - Bernama