Kerajaan pergiat pembaharuan pasaran buruh pada 2024 - Rafizi

RAFIZI
RAFIZI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempergiatkan pembaharuan pasaran buruhnya pada 2024, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kerajaan akan menetapkan tempoh dan melaksanakan sistem yang sewajarnya untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

"Kepada majikan di luar, ia (pembaharuan pasaran buruh) akan dilaksanakan. Bagaimanapun, saya tidak yakin bahawa mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing akan berlaku dengan hanya satu arahan.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah membina sistem sokongan terlebih dahulu,” katanya pada program "Sembang Santai Bersama Menteri Ekonomi” sempena Program Ulang Tahun Pertama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Beliau berkata, antara usaha lain untuk pembaharuan pasaran buruh pada 2024 termasuklah projek perintis untuk dasar gaji progresif dengan 1,000 syarikat pertama dari Jun hingga September untuk menyelesaikan sebarang masalah operasi.

"Mulai 2025 dan seterusnya, wajar bagi kerajaan untuk menyediakan peruntukan bagi memastikan peningkatan paras gaji yang mampan tahun demi tahun.

"Matlamat kami ialah bahagian pampasan pekerja menyumbang 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkat kepada 45 peratus dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Rafizi berkata, sebahagian besar keputusan struktur ekonomi telah dibuat pada tahun 2023 seperti subsidi bersasar dan peralihan tenaga.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang perubahan besar dalam ekonomi tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Ujian untuk mana-mana kerajaan, terutamanya kerajaan ini, ialah bagaimana kita boleh kekal di landasan kerana ia akan mengambil masa untuk perubahan itu berlaku.

"Sekiranya saya menjalankan organisasi atau syarikat besar, saya akan berhati-hati untuk memisahkan dan membezakan antara pertumbuhan dangkal dan model perniagaan mampan yang boleh dibina oleh generasi selepas saya untuk memastikan bukan sahaja mereka mempunyai sumber kewangan dan keupayaan tetapi juga ekosistem yang boleh meningkatkan kekuatan mereka,” katanya.

Program Ulang Tahun Pertama Kerajaan Madani, yang berakhir pada Ahad (10 Dis), bertujuan untuk menyebarkan dan mempromosikan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 November 2023. - Bernama