Sektor pembinaan meningkat 8.1 peratus pada suku kedua 2023

Hampir satu per empat atau 23.3 peratus daripada nilai kerja pembinaan pada suku kedua 2023 tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.5 bilion - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Uzir)
Hampir satu per empat atau 23.3 peratus daripada nilai kerja pembinaan pada suku kedua 2023 tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.5 bilion - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Uzir)
A
A
A

SEKTOR pembinaan Malaysia terus berkembang pada suku kedua 2023, mencatatkan peningkatan sebanyak 8.1 peratus dengan nilai kerja pembinaan berjumlah RM32.4 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu terus disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam kejuruteraan awam dengan pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus pada suku ini (Suku Pertama 2023: 17.2 peratus).

"Pada masa yang sama, subsektor aktiviti perdagangan khas mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku ini sebanyak 9.8 peratus berbanding 9.0 peratus dalam suku sebelumnya manakala bangunan bukan kediaman meningkat secara sederhana sebanyak 5.7 peratus (Suku Pertama 2023: 9.6 peratus).

"Selain itu, nilai kerja pembinaan dalam subsektor bangunan kediaman pulih semula kepada 6.9 peratus daripada negatif 2.2 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

"Sebanyak RM12.1 bilion atau 37.4 peratus daripada nilai kerja pembinaan disumbang oleh kejuruteraan awam terutamanya oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api dengan nilai sebanyak RM6.5 bilion pada suku ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, nilai kerja pembinaan bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM9.9 bilion (30.7 peratus) dan RM7.3 bilion (22.7 peratus).

Bagi prestasi sektor pembinaan mengikut negeri, beliau berkata hampir satu per empat atau 23.3 peratus daripada nilai kerja pembinaan pada suku kedua 2023 tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.5 bilion.

Nilai kerja pembinaan yang tertinggi di Selangor adalah kejuruteraan awam (RM2.4 bilion), diikuti oleh bangunan kediaman (RM2.3 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM2.1 bilion).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Johor yang berada di tempat kedua dengan nilai sebanyak RM3.8 bilion atau dengan sumbangan 11.9 peratus, disokong kebanyakannya oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM1.4 bilion) dan kejuruteraan awam (RM1.3 bilion).

Nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan adalah sebanyak sebanyak RM3.7 bilion (11.5 peratus) dan Sarawak dengan RM3.4 bilion (10.5 peratus). - Bernama