Pelbagai inisiatif beri manfaat pada petani dan pesawah

Kerajaan berusaha untuk memperhebatkan lagi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. - Foto: Bernama. Gambar kecil: Mohamad Sabu
Kerajaan berusaha untuk memperhebatkan lagi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. - Foto: Bernama. Gambar kecil: Mohamad Sabu
A
A
A

PADA 2 Disember lalu, genap setahun Kerajaan Perpaduan dipilih untuk mengemudi Malaysia. Dalam senarai menteri kabinet yang dipilih, saya tertarik pada satu nama yang dipilih memegang portfolio sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Selepas setahun dilantik, sudah tentu rakyat ingin melihat apa perubahan yang dibawa Ahli Parlimen Kota Raja ini dalam memartabatkan industri pertanian.

Apa yang pasti, terdapat banyak perubahan yang dilakukan beliau antaranya, memastikan bekalan cukup di musim perayaan, menyalurkan 30 peratus yang dikongsi bersama 240,000 pesawah melalui untung bersih Padiberas Nasional Bhd (Bernas) daripada aktiviti import beras dan pengenalan empat langkah intervensi tambahan beras putih tempatan dalam memastikan bekalan makanan ruji rakyat Malaysia itu sentiasa mencukupi.

Selain itu, beliau juga berjaya mendapatkan kelulusan khas kerajaan India untuk mengimport kembali beras putih bukan basmathi.

Dalam memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi, beliau turut memperkenalkan Skim Smart Sawah Ala Sekinchan yang berjaya meningkatkan hasil bekalan beras 3 hingga 5 metrik di Perlis dan Terengganu.

Malah beliau turut dipuji apabila bertindak menghapuskan subsidi ayam dan mengapungkan harga ayam.

Sebuah jentera pemotong padi melakukan kerja-kerja menuai padi sebelum dihantar ke kilang pemprosesan padi ketika tinjauan di sekitar Jalan Parit 5. - Foto: Bernama
Sebuah jentera pemotong padi melakukan kerja-kerja menuai padi sebelum dihantar ke kilang pemprosesan padi ketika tinjauan di sekitar Jalan Parit 5. - Foto: Bernama

Hasilnya, bekalan ayam menjadi stabil serta mewujudkan harga lebih kompetitif kepada pengguna. Beliau berjaya menjimatkan hampir RM2 billion wang awam menerusi penamatan subsidi ayam.

Artikel Berkaitan:

Pengenalan Dasar Import Telur Ayam dan langkah intervensi bagi mengatasi gangguan bekalan telur turut membuahkan hasil apabila berjaya diatasi dalam tempoh dua bulan sahaja.

Selain itu, pengenalan Jualan Agro Madani juga merupakan salah satu inisiatif kementeriannya yang menggabungkan pelbagai agensi dengan menawarkan penjimatan harga sehingga 30 peratus.

Tidak ketinggalan, pesawah dan petani turut mendapat manfaat menerusi bantuan khas tunai RM250, bantuan RM200 'one off' Aidilfitri, menaikkan skim subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 dan meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan.

Malah, bagi memastikan infrastruktur dalam keadaan baik, kerajaan menaik taraf sistem saliran MADA bernilai RM3 billion menerusi kerjasama dengan pihak swasta. Sebanyak RM26.68 juta bantuan wang ihsan pula disalurkan kepada pesawah di kawasan MADA yang terjejas akibat bencana alam.

Selain itu, beliau turut melancarkan program 'Zero Late Delivery' baja dan mewartakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) serta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sebagai badan awam dalam Akta SPRM.

Nasib 1 juta ahli peladang turut terbela selepas beliau membantu Nafas mendapatkan Tuntutan Variation Of Price bernilai RM1.26 billion.

Beliau juga mewujudkan data raya bersepadu pertanian, mengarahkan warga kementerian menggunakan produk tempatan dalam setiap jamuan yang diadakan, melancarkan bank bergerak Agrobank dan meneruskan pemberian Geran Agropreneur Muda sebanyak RM20,000 kepada 466 peserta berusia 18 hingga 40 tahun.

Melihatkan semua perancangan yang sudah berjaya dicapai dalam tempoh setahun ini, sudah tentu memerlukan kerja keras daripada semua pihak. Apa yang pasti, teruskan usaha memperkasakan industri pertanian dan tahniah Bang Mat, you did good job!



Raden Seri, Kuala Lumpur