Rugi RM10,000 timun tenggelam banjir

Sayur timun yang tidak sempat dikutip kerana banjir.
Sayur timun yang tidak sempat dikutip kerana banjir.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Dua sepupu kerugian kira-kira RM10,000 apabila ladang timun fertigasi yang diusahakan di Kampung Padang Licin, di sini, musnah ditenggelami banjir.

Muhammad Syahfiq Mohamad Zulkepli, 19, dan Mohamad Luqman Othman, 20, pertama kali menanam sayuran itu di tanah seluas 0.4 hektar selepas mengambil alih daripada bapa saudara mereka.

Muhammad Syahfiq
Muhammad Syahfiq

Muhammad Syahfiq berkata, sebanyak 600 polibeg benih timun disemai pada Oktober lalu dan berbuah serta sudah boleh dikutip hasilnya pada akhir bulan lalu.

“Saya hanya sempat mengutip sekitar 60 kilogram sebelum banjir melanda dua minggu lalu dan tidak sempat mengambil timun yang selebihnya hingga kami mengalami kerugian sekitar RM10,000.

“Air naik mendadak kerana hujan semalam dan menenggelamkan timun-timun hingga rosak serta tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Licin di sini, pada Khamis.

Menurut Muhammad Syahfiq, keadaan banjir termenung sedalam 0.7 meter yang berlaku di kawasan kampung itu juga memburukkan lagi keadaan apabila sayuran tersebut terendam lebih lama dan menjadi buruk.

Muhammad Syahfiq menunjukkan ladang timun yang tidak dapat diselamatkan.
Muhammad Syahfiq menunjukkan ladang timun yang tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

“Timun-timun ini sepatutnya dihantar kepada pembekal di Kubang Bemban, Pasir Mas sebelum dibawa ke Tunjong untuk dijual.

“Banjir makin teruk dengan keadaan air termenung sudah dua minggu dan lambat surut menyebabkan sayur-sayur ini memburuk dan busuk,” katanya.

Ujar remaja itu, keadaan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya selain berhajat untuk kembali mengusahakan tanaman timun yang baharu apabila keadaan banjir pulih kelak.

“Saya nak tambah lagi ruang tanah untuk lebih banyak tanaman pokok timur pada masa depan.

“Kerugian kali ini, saya anggap sebagai pengalaman untuk saya mempelajari dan memahami selok-belok menjadi petani yang berjaya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!