Pejabat daerah disaran simpan rekod penghuni rumah sewa

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat daerah di setiap negeri disarankan menyimpan rekod penghuni rumah sewa yang ada di kawasan mereka serta melakukan lawatan berkala sebagai langkah mengawal berlakunya kes jenayah melibatkan warga asing.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, pejabat daerah boleh mengarahkan penghulu mukim atau ketua kampung untuk mengumpulkan dan menyimpan rekod itu serta melakukan tinjauan ke rumah-rumah yang dikenal pasti.

“Dengan penyimpanan rekod ini, pihak yang berkuasa yang bertanggungjawab di setiap kawasan dapat mengenal pasti penghuni rumah sewa yang sering keluar masuk dan mengenal pasti pemilik rumah tersebut.

“Rekod ini boleh dimasukkan dalam buku sektor setiap kawasan. Jadi akan dapat dibanci jumlah penghuni warga asing dan lawatan berkala boleh dilakukan untuk tujuan pencegahan berlakunya kes-kes jenayah serta menjamin keharmonian Masyarakat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes jenayah melibatkan warga asing di negara ini yang dilihat membimbangkan.

Dalam kes terbaharu pada Ahad lalu, mayat seorang wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air di sebuah rumah sewa di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang sebelum polis memburu dua bekas penyewa rumah itu yang merupakan warga asing.

Kamal Affandi turut mengesyorkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) mewajibkan semua rumah yang dibina untuk sewaan perlu memenuhi beberapa syarat termasuk mendaftar dalam buku sektor.

“Jika status rumah itu adalah rumah sewa atau dibina untuk sewaan maka ia perlu melalui proses tertentu supaya dapat disimpan maklumat penyewa. Ia sebagaimana syarat yang ditetapkan bagi rumah kedai yang dijadikan hostel,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Kamal Affandi memberitahu, selain itu orang awam juga perlu menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa sekiranya melihat keadaan mencurigakan di kawasan penempatan masing-masing bagi mengekang berlakunya jenayah.

“Sekiranya nampak keadaan yang janggal seperti penyewa keluar rumah tergesa-gesa boleh hubungi pihak berkuasa.

"Tidak jadi satu kesalahan sekiranya apa yang mereka curigai itu tidak berlaku tapi lebih baik kita cegah atau bertindak awal,” ujar beliau.