Penduduk akui masih terkejut kejadian mayat wanita disimen

Rumah yang dipercayai menjadi lokasi penemuan mayat disimen dalam kolah bilik air pada Ahad lalu.
Rumah yang dipercayai menjadi lokasi penemuan mayat disimen dalam kolah bilik air pada Ahad lalu.
A
A
A

KLANG - 'Tak pernah berlaku kejadian seperti ini sebelum ini, kami harap pelaku terlibat segera ditangkap.'

Demikian luah penduduk di sekitar Kampung Pandamar, Pandamaran berkaitan kejadian penemuan mayat seorang wanita yang disimen dalam kolah air sebuah rumah sewa dekat sini, Ahad lalu.

Mengakui terkejut dengan kejadian terbabit, rata-rata penduduk meluahkan kebimbangan ekoran apa yang berlaku itu disifatkan amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kawasan sekitar ini memang ada disewa oleh warga asing sejak beberapa tahun lalu.

"Ada warga asing yang menyewa beberapa buah rumah di sini, tapi mereka tak pernah timbulkan masalah kepada penduduk sekitar.

"Kalau ikutkan saya sendiri pun tak selesa bila lihat sekitar tempat tinggal saya ada warga asing yang menyewa, tapi nak buat macam mana," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, keadaan ini berlaku disebabkan ada pemilik rumah yang bertindak menyewakan rumah mereka kepada warga asing.

"Warga asing ini budaya mereka tak sama macam kita, kita bukan nak kata mereka ni bawa masalah, tapi kalau boleh kepada pemilik rumah, berilah sewa kepada warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan fikir nak untung saja, fikir sama tentang perasaan penduduk sekitar, bila jadi kes-kes yang macam ini misalnya macam pembunuhan dan sebagainya, secara tak langsung perasaan risau itu memang ada," katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohd berkata, kejadian sebegini memang tak pernah berlaku di kawasan sekitar Kampung Pandamar sebelum ini.

Suasana lengang sekitar kawasan kejiranan berdekatan rumah yang dipercayai menjadi lokasi penemuan mayat disimen dalam kolah bilik air pada Ahad lalu.
Suasana lengang sekitar kawasan kejiranan berdekatan rumah yang dipercayai menjadi lokasi penemuan mayat disimen dalam kolah bilik air pada Ahad lalu.

"Terkejut juga bila dapat tahu ada kes macam ini, sebab kalau ikut daripada apa yang dilaporkan ia berlaku lebih setahun lalu, apa pun biar pihak polis yang jalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian.

"Saya harap pelaku terlibat segera dibawa ke muka pengadilan kerana ia melibatkan pembunuhan kejam, sebelum ini mungkin kejadian sebegini kita dengar hanya berlaku di luar negara, tapi tak sangka dalam kawasan tempat tinggal sendiri pun berlaku juga," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di sekitar lokasi rumah sewa berkenaan lengang dan penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan mayat seorang wanita yang ditemui ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah sewa itu disyaki dibunuh lebih setahun.

Jelas beliau, bagaimanapun siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan dan mayat masih lagi dalam proses bedah siasat di Hospital Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya kini masih memburu dua lelaki dipercayai menyewa rumah berkenaan dari 2019 sehingga 2021 dan pihaknya turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Seramai tiga individu sebelum ini termasuk pemilik rumah sewa berkenaan telah dirakam keterangan selain seorang suspek lelaki warga asing berusia 53 tahun telah ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.