Banjir: Penternak terpaksa pindahkan lembu sejauh 2km

Mangsa banjir Muhammad Liza Fazrin Rasdan, 16, membawa rumput yang diperoleh di kawasan yang belum ditenggelami air untuk diberikan kepada lembu peliharaan. - Foto Bernama
Mangsa banjir Muhammad Liza Fazrin Rasdan, 16, membawa rumput yang diperoleh di kawasan yang belum ditenggelami air untuk diberikan kepada lembu peliharaan. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Banjir yang berlaku di sekitar jajahan Pasir Mas bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, malah haiwan ternakan juga seperti lembu.

Seorang penternak Rasdan Abdullah, 55, dari Kampung Serongga berkata, kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini menyebabkan beliau terpaksa menyelamatkan lembu peliharaan setelah kawasan di sekitar rumah ditenggelami air.

Muhammad Liza Fazrin membantu bapanya memberi makan lembu peliharaan. - Foto Bernama
Muhammad Liza Fazrin membantu bapanya memberi makan lembu peliharaan. - Foto Bernama

"Pada Sabtu lepas air mula naik sekitar tengah hari, saya dibantu isteri serta dua anak terpaksa membawa sembilan ekor lembu peliharaan keluar dari kandang ke kawasan lebih tinggi di Kampung Teresek yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.

"Rata-rata penternak dari kampung ini akan meletakkan haiwan peliharaan mereka seperti lembu dan kerbau di lokasi ini," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Rasdan mengakui penat kerana setiap kali banjir, dia sekeluarga bukan sahaja terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi juga perlu memastikan haiwan peliharaannya selamat dengan memindahkan ke kawasan lebih tinggi.

"Kampung Serongga terletak berhampiran sungai memang mengalami banjir setiap tahun tetapi air hanya naik kira-kira paras betis orang dewasa.

"Namun, sejak projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok bermula, aras air meningkat berkali ganda, pada kejadian banjir akhir tahun lepas rumah saya ditenggelami air sehingga paras bumbung, kalau nak kira setiap tahun kami terpaksa berpindah lebih sekali ke PPS," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Rasdan mengakui inisiatif pihak kerajaan membina struktur alur limpah di Pengkalan Teluk, sebuah lokasi benteng PLSB Sungai Golok membantu mengurangkan impak banjir kali ini.

Tinjauan Bernama mendapati air banjir masih bergenang di sekitar penempatan itu memaksa 345 mangsa daripada 107 keluarga dari Kampung Serongga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang setakat 2 petang ini. - Bernama