Empat beradik termasuk bayi ditemui terabai, ditinggal sendirian

Empat beradik ditemui dalam keadaan tidak terurus oleh jiran. (Ihsan pembaca)
Empat beradik ditemui dalam keadaan tidak terurus oleh jiran. (Ihsan pembaca)
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menyelamatkan empat beradik masing-masing berusia tujuh bulan, dua tahun, lima dan tujuh tahun yang ditemui dibiarkan bersendirian selama tiga hari di sebuah rumah di Ampangan di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosnah Sardi berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu daripada jiran kanak-kanak berkenaan.

"Pihak kami menerima aduan daripada beberapa jiran pada jam 9.40 malam kelmarin (Isnin) mengenai keadaan tiga kanak-kanak dan seorang bayi berusia tujuh bulan yang ditemui dalam keadaan tidak terurus.

"Penduduk sudah mengambil mereka dan ditempatkan di kediaman jiran serta diberikan makanan. Ketika JKM mengambil mereka, anak-anak ini berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Empat beradik yang ditemui diselamatkan JKM (ihsan pembaca).
Empat beradik yang ditemui diselamatkan JKM (ihsan pembaca).

Menurutnya, pegawai JKM telah membuat siasatan segera ke lokasi kejadian dan mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut merupakan warga Rohingya serta sebelum ini sering berpindah randah.

Ujarnya, tindakan lanjut turut dilakukan dengan menghubungi pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) kerana kes membabitkan pelarian daripada Rohingya yang dilindungi UNCHR

"Hasil siasatan mendapati ibu mereka dikatakan keluar rumah sejak 1 Disember lalu dan tidak kembali. Bapa pula berada di lokap dan akan dilepaskan, hari ini (Rabu).

Artikel Berkaitan:

"Anak-anak ini ditempatkan di tempat selamat sebelum diserahkan kepada bapa kandung di bawah pemantauan pihak UNCHR," katanya

Tambahnya, satu laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian ini dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 17 (1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016.