Empat lelaki termasuk dua polis ditahan samun pekerja asing

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki termasuk dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian menyamar sebagai pegawai polis dan samun warga asing dalam kejadian di rumah kongsi di Simpang Ampat di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, empat lelaki berumur 24 hingga 37 tahun itu ditahan secara berasingan bermula jam 4.30 petang di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

"Seorang pekerja asing di rumah kongsi itu iaitu lelaki warga Nepal berusia 26 tahun membuat laporan polis mendakwa dia telah disamun oleh pihak polis dalam kejadian di rumah kongsi tapak pembinaan itu kira-kira 1.30 pagi sehingga kerugian RM820.

"Menurut mangsa, ketika dia dan rakan-rakannya sedang tidur tiba-tiba pintu rumah telah diketuk dan sebaik membukanya terdapat tiga lelaki mengenakan pakaian biasa memperkenalkan diri sebagai polis," katanya kepada Bernama hari ini.

Kok Chin berkata, selepas itu, tiga lelaki berkenaan telah masuk ke dalam lalu menggeledah rumah kongsi dan meminta RM5,000, namun mangsa tidak mempunyai wang seperti yang diminta dan menyerahkan wang berjumlah RM520 sahaja.

Beliau berkata, seorang daripada rakan warga asing itu juga dipukul oleh suspek yang turut bertindak mengambil sebuah telefon bimbit milik mangsa sebelum bertindak keluar dari rumah kongsi itu.

Kok Chin berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati lokasi kejadian itu berada di dalam kawasan pembinaan sebuah kilang dan hasil semakan di tempat kejadian mendapati terdapat kamera litar tertutup yang merekodkan pergerakan tiga suspek itu, namun rakamannya tidak jelas.

"Dua anggota polis yang ditahan itu ialah konstabel dan koperal yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal.

Artikel Berkaitan:

"Dua lagi merupakan orang awam dengan seorang daripadanya menyamar sebagai pegawai polis dan seorang lagi ialah pengawal keselamatan di tapak pembinaan yang dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan serta dua orang awam yang ditahan itu masing-masing mempunyai lima dan sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Empat lelaki itu menurutnya, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan. - Bernama