[VIDEO] Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun, denda RM10 juta, dua sebatan

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihukum penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas pihak Syed Saddiq, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini dihukum penjara selama tiga tahun dan satu sebatan.

Sementara satu pertuduhan menyalah guna harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403 kanun sama, dia dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan.

Syed Saddiq ditemani ibu, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Syed Saddiq ditemani ibu, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama

Mahkamah memerintahkan dua hukuman penjara itu dilaksanakan secara berasingan.

Bagi pertuduhan kes AMLA, dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan tambahan dua tahun, jika gagal membayar denda tersebut.

Semasa prosiding, peguam, Haijan Omar mewakili Syed Saddiq merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dalam bentuk penjara atau denda sahaja.

Syed Saddiq. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Syed Saddiq. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Beliau memohon perkara itu, tanpa menyebut mengenai peruntukan hukuman sebatan.

“Syed Saddiq menyesal, akur dan muhasabah diri di atas keputusan berkenaan namun dia tidak memperoleh keuntungan daripada pertuduhan yang dikenakan terhadapnya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu dengan menghujahkan bahawa tertuduh perlu dikenakan hukuman setimpal.

Menurutnya, bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ini perlu dihukum penjara minimum enam tahun, denda tidak kurang RM7 juta dan sebatan antara enam hingga 10 kali.

No Image Caption



“Kami menghujahkan, wajib dikenakan sebatan kerana berdasarkan tertuduh dalam kes lain, mahkamah mengenakan hukuman berkenaan bagi pertuduhan yang sama.

“Selain itu, kami mohon hukuman penjara bagi keempat-empat pertuduhan ini, berjalan secara berasingan,” katanya.

Selepas Azhar menjatuhi hukuman peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq merayu agar semua hukuman berkenaan ditangguhkan.

Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz mencium dahi anaknya, Syed Saddiq.
Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz mencium dahi anaknya, Syed Saddiq.

“Kami mohon ikat jamin yang ditetapkan mahkamah sebelum ini, iaitu sebanyak RM330,000 dan syarat sedia ada dikekalkan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd `Afif Ali membantah penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan tiada keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Azhar kemudiannya membenarkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu menangguhkan pelaksanaan semua hukuman dan mengekalkan syarat jaminan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

No Image Caption

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan menyalah gunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

No Image Caption

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.