HAKN pacu, perluaskan pasaran agrikomoditi negara - Fadillah

Fadillah (tengah) melancarkan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023 disaksikan oleh Aminah Aching (dua dari kiri) dan Mad Zaidi (dua dari kanan) di PICC, Putrajaya pada Selasa.
Fadillah (tengah) melancarkan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023 disaksikan oleh Aminah Aching (dua dari kiri) dan Mad Zaidi (dua dari kanan) di PICC, Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) yang buat pertama kali dilancarkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) pada tahun ini bakal meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti pembangunan produk sektor agrikomoditi.

Bertemakan ‘Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara’, objektif utama HAKN adalah untuk mengiktiraf serta menghargai jasa rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sektor agrikomoditi di semua peringkat selari dengan hasrat KPK membangunkan sektor komoditi tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sambutan HAKN merupakan inisiatif Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selaras dengan matlamat Ekonomi Madani bagi mencapai kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Malah, aktiviti pembangunan produk berkaitan katanya merupakan antara elemen penting dalam sektor agrikomoditi supaya kekal progresif, mampan, berdaya saing serta inklusif.

Selain tu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu turut mewujudkan platform perkongsian maklumat, Percambahan idea baharu kepada semua pihak berkepentingan dalam sektor agrikomoditi negara.

Fadillah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Inovasi Petani Koko 2023 (Wilayah Sabah) kepada Rosiati Rusmin sempena HAKN 2023.
Fadillah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Inovasi Petani Koko 2023 (Wilayah Sabah) kepada Rosiati Rusmin sempena HAKN 2023.

“Saya yakin HAKN turut mewujudkan platform untuk mempromosi peluang pekerjaan dan perniagaan selain peningkatan kerjaya dalam sektor agrikomoditi.

“Ia juga bakal membuka serta meluaskan pasaran agrikomoditi negara di samping memperkasakan industri di samping menarik lebih ramai golongan belia mengambil bahagian dalam bidang ini,” katanya..

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Agrikomoditi Negara anjuran KPK d Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching dan Ketua Setiausaha Kementerian KPK, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Tambah Fadillah, sektor agrkomoditi telah menyumbang RM60 bilion atau lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Fadillah menyampaikan Anugerah Pekebun Kecil Berdaya Maju Kategori Pribumi kepada Sami Kalim (empat dari kanan) sempena HAKN 2023 di Putrajaya.
Fadillah menyampaikan Anugerah Pekebun Kecil Berdaya Maju Kategori Pribumi kepada Sami Kalim (empat dari kanan) sempena HAKN 2023 di Putrajaya.

Malah, nilai eksport sektor tersebut jelasnya mencatatkan jumlah RM117.2 bilion atau kira-kira 11.06 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

“Banyak lagi kejayaan dicatatkan oleh kementerian dan sektor agrikomoditi akan dipamerkan kepada umum melalui penglibatan KPK dalam program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani pada 8 hingga 10 Disember ini di perkarangan Stadium Bukit Jalil,” katanya banyak lagi perkara positif akan dilaksanakan bagi memastikan negara menjadi peneraju ekonomi Asia.

Cabaran

Dalam pada itu, Fadillah turut mengakui bahawa pelbagai cabaran bakal ditempuh pada tahun hadapan 2024 terutamanya di peringkat global.

Malah, KPK katanya sentiasa membangunkan model-model baharu yang bersesuaian bagi mengekalkan momentum sektor agrikomoditi dari semasa ke semasa.

“Usaha ini termasuklah membangunkan entiti perniagaan bersesuaian yang dapat menggabungkan tanah-tanah kecil dalam satu pentadbiran bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil akan diterokai.

“Kaedah ini diharap dapat membantu memastikan pekebun kecil memperoleh pendapatan melalui pajakan atau sewaan tanah, gaji sebagai pekerja dalam entiti yang ditubuhkan dan dividen hasil pegangan saham,” jelas beliau.

Para penerima anugerah sempena HAKN 2023 bergambar bersama-sama sambil disertai Fadillah (tengah) dan Aminah Aching (empat dari kiri).
Para penerima anugerah sempena HAKN 2023 bergambar bersama-sama sambil disertai Fadillah (tengah) dan Aminah Aching (empat dari kiri).

Selain itu, peraturan atau regulasi baru di peringkat turut memberi cabaran kepada sektor agrikomoditi antaranya Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) 2020.

“Ini merupakan sekatan yang mana bila misi kita ke Eropah dahulu untuk berbincang dan hasil perbincangan itu bersama Indonesia. Mereka bersetuju untuk mewujudkan pasukan khas untuk melihat kepada peraturan itu sama ada peraturan itu beri kesan kepada negara kita.

“Mesyuarat pertama telah dilaksanakan di Jakarta dan mesyuarat kedua akan dilaksana pada Januari depan,” katanya.

EUDR adalah undang-undang alam sekitar baharu digubal menyasarkan lapan komoditi, termasuk minyak sawit, yang ditanam di tanah yang dibersihkan selepas 2020.

EUDR telah diluluskan Parlimen Eropah April lepas, yang mana ia mewajibkan syarikat memastikan produk yang dijual di Kesatuan Eropah tidak membawa kepada penebangan hutan.

Peraturan itu meliputi lembu, koko, kopi, minyak sawit, soya, kayu, getah, arang dan produk kertas bercetak.

Mengulas lanjut, Fadilllah berkata, kerajaan merancang untuk mengeluarkan produk-produk baharu sektor agrikomoditi yang boleh meningkatkan pendapatan negara.

“Di samping itu kita kena lihat bagaimana agrikomoditi ini bukan sahaja fokus kepada proses penanaman dan pemprosesan malah kita nak kaitkan agrokomoditi ini dengan pelancongan.

“Maka ia akan jadi agrikomoditi tapi agro pelancongan. Salah satu contoh yang berjaya adalah dalam sektor koko negara,” ujarnya.