Sambutan Hari Kebangsaan 2023 terjemah konsep Malaysia Madani

Hari Kebangsaan 2023 yang disambut di Putrajaya pada 31 Ogos ini menjanjikan terjemahan konsep Malaysia Madani. - Gambar hiasan
Hari Kebangsaan 2023 yang disambut di Putrajaya pada 31 Ogos ini menjanjikan terjemahan konsep Malaysia Madani. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Kebangsaan 2023 yang disambut di Putrajaya pada 31 Ogos ini menjanjikan terjemahan konsep Malaysia Madani dalam segenap aspek, sama ada daripada persembahan tarian dan nyanyian, aksi akrobatik oleh pasukan keselamatan sehinggalah perarakan kontinjen.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin berkata, satu daripada terjemahan itu ialah penonjolan Kontinjen Malaysia Madani dalam acara perbarisan yang merupakan gabungan 1,000 peserta pelbagai etnik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga Kontinjen Ekonomi yang disertai pemain industri seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat telekomunikasi dan perbankan yang menterjemahkan keamanan serta keharmonian negara ini berjaya membuahkan hasil pelaburan.

"Kemudian diselangi dengan acara perarakan aset ketenteraan, polis dan aset kementerian yang menggunakan teknologi baharu seperti Electric Vehicle sebagai simbolik bahawa keamanan dan kedamaian membawa kemajuan kepada Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bersesuaian dengan tema "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, sebanyak 1,500 pelajar sekolah juga akan bergabung membuat persembahan lagu tema, di samping melakukan gerakan pantas dan pelbagai formasi mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Rosnan berkata, bagi mengetengahkan kekayaan seni dan budaya Malaysia, kira-kira 1,000 penari akan bersama-sama mengalunkan keindahan irama lagu Kurik Kundi yang pernah dipopularkan penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

"Diiringi irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum, lagu ini akan dinyanyikan secara berselang-seli beberapa artis antaranya Nadeera Zaini yang mewakili masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Suki Low (wakil kaum Cina), Zizi Kirana (mewakili masyarakat Sabah) dan Roshini Balachandran (wakil kaum India) yang menandakan penyatuan rakyat,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Rosnan berkata, pengunjung Hari Kebangsaan juga bakal disajikan dengan aksi terjunan udara enam komando 69 (VAT69) Polis Diraja Malaysia membawa bendera Jalur Gemilang yang akan mendarat tepat di hadapan Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya dalam tempoh enam minit.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai juga boleh menjangkakan persembahan udara yang menakjubkan menggunakan helikopter pasukan keselamatan selain aksi akrobatik 15 motosikal antik ‘Wira Merah’ oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia. Semua ini (persembahan) diharap dapat memberikan faktor wow kepada pengunjung,” katanya.

Rosnan berkata, secara keseluruhannya, lebih 19,000 peserta terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023 dan demi keselesaan 100,000 pengunjung yang dijangka hadir, pasukan logistik sedang berusaha menyediakan kemudahan tempat duduk bertingkat.

Sambutan ini ialah kali kelima Putrajaya dipilih sebagai lokasi penganjuran selepas kali pertama pada 2003, disusuli 2005, 2018 dan 2019. - Bernama