Mendiang Jui Meng pejuang reformasi kental - Anwar

Anwar bersama Isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Gereja Full Gospel Assembly Kuala Lumpur Kuchai Lama pada Selasa untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Dr Chua Jui Meng.
Anwar bersama Isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Gereja Full Gospel Assembly Kuala Lumpur Kuchai Lama pada Selasa untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Dr Chua Jui Meng.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mendiang Datuk Chua Jui Meng akan dikenang bukan sahaja sebagai antara Menteri Kesihatan yang sangat berkesan tetapi juga seorang pejuang reformis kental yang sentiasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika zaman sukar parti itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah mengenali mendiang hampir 40 tahun, selepas Jui Meng menjadi Ahli Parlimen dan semasa mendiang menjadi pemimpin MCA.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, Jui Meng merupakan antara Menteri Kesihatan yang sangat berkesan kerana menyumbang jasa besar kepada negara terutama dalam bidang itu.

"Kemudian dalam zaman liku-liku perjuangan yang sangat sukar bagi kami (PKR), hubungan kami menjadi lebih akrab kerana beliau (Jui Meng) sentiasa bersama, memberikan kerjasama dan bantuan sebagai pemimpin Keadilan dan juga tenaga reformis yang penting.

Beliau telah menunjukkan kekentalan, semangat dan dedikasinya kepada parti dan sebab itu, kita merasakan kehilangan seorang sahabat dan pejuang reformis di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Gereja Full Gospel Assembly Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Terdahulu, Anwar tiba di gereja itu pada pukul 4.28 petang dan menandatangani buku takziah sebelum meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama keluarga mendiang.

Jui Meng, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang pada petang Ahad.

Hasil perkahwinan Chua dengan Datin Honey Wong Nyet Lan, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang sebelum ini bersama MCA menyertai PKR pada 2009 dan seterusnya dalam tempoh setahun bersama parti itu, beliau dilantik sebagai Naib Presiden parti. - Bernama