Chua Jui Meng sentiasa prihatin kesihatan rakyat - Ka Siong

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng sentiasa prihatin tentang kesihatan rakyat, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ka Siong yang mengenali Jui Meng selama 30 tahun menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang mempunyai karisma dan petah berucap berdasarkan fakta dan data yang jitu, serta mentor dalam politik pada tahun 90an.

"Ketika menjadi Menteri Kesihatan, Chua sentiasa prihatin tentang kesihatan rakyat dan boleh dikatakan setiap yang dirujuk kepada beliau, tentunya mendapat perhatian beliau sendiri.

"Saya masih ingat satu insiden berlaku pada April 2002, ketika itu saya belum lagi menjadi Ahli Parlimen. Anak perempuan saya, Joan Wee dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk pembedahan segera, akibat daripada mengalami ‘duodenal alcer’.

"Datuk Chua memahami saya dan isteri sebagai ibu bapa, beliau telah mendapatkan laporan pakar bedah dari semasa ke semasa, serta menyampaikan status terkini mengenai anak saya. Keluarga saya memang terhutang budi kepada beliau,” katanya menerusi hantaran di laman di Facebook rasminya malam ini.

Ka Siong turut mengucapkan takziah kepada keluarga Jui Meng atas pemergiannya petang tadi, akibat masalah jantung.

"Jasa dan pengorbanan Chua kepada negara adalah besar dan sentiasa diingati oleh rakyat. Sebelum memegang jawatan Menteri Kesihatan, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan juga banyak membantu pengusaha Perusahaan Kecil dan Sedarhana (PKS) termasuk menubuhkan Persatuan SME Malaysia (SME Association of Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, walaupun Jui Meng telah meninggalkan MCA selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 dan menyertai PKR, akan tetapi persahabatan antara mereka tidak terputus sehingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

Jui Meng, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini pada jam 4.04 petang.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Facebook, beberapa menteri turut sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan mendoakan agar tabah menghadapi ujian ini.

"Beliau merupakan Menteri Kesihatan yang paling lama berkhidmat iaitu dari tahun 1995 hingga tahun 2004. Beliau juga merupakan mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Johor dari tahun 2010 hingga tahun 2013,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga di atas pemergian mendiang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Jui Meng merupakan seorang yang baik, taat kepada tuhan dan menjaga keluarganya.

"Taziah kepada keluarga Datuk Chua Jui Meng, bekas menteri kesihatan Malaysia,” katanya. - Bernama