Peniaga gesa polis siasat video tular individu sokong Israel

Syed Muhammad Shafiq menunjukkan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini pada Selasa.
Syed Muhammad Shafiq menunjukkan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga, Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar membuat laporan menggesa pihak polis menyiasat satu video tular berkaitan seorang individu dipercayai rakyat Malaysia dengan pempengaruh Israel.

Katanya, laporan polis dibuat selepas dia mengesan video itu di aplikasi X.

"Dalam temubual itu, individu berkenaan yang mengakui berasal dari Johor Bahru, menyatakan bahawa rakyat Malaysia kononnya mempunyai pandangan yang silap tentang Israel dan elemen kebencian ini dibawa oleh kumpulan pejuang Fatah dan Hamas yang disalurkan kepada rakyat Malaysia.

"Malah individu itu juga menyatakan perlunya ada normalisasi hubungan antara Malaysia dan Israel di mana kedutaan Israel harus diwujudkan di negara ini (Malaysia) dan kerajaan Malaysia juga harus mempunyai kedutaan di Israel," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada Selasa.

Syed Muhammad Shafiq berkata, tindakan individu itu sedikit sebanyak berkaitan dengan sensitiviti agama dan bangsa dan tidak boleh dipandang ringan.

"Pihak polis perlu menjalankan siasatan selain meminta tindakan terhadap individu berkenaan kerana boleh mengganggu-gugat keharmonian agama dan kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, peguam, Rafique Rashid berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah suara kerisauan rakyat Malaysia.

"Kita sedia maklum bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, melalui video temubual itu ada usaha untuk menormalisasi hubungan Malaysia dan rejim Zionis, itu yang menjadi kerisauan," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 5.33 saat yang disiarkan dalam akuan rasmi aplikasi X milik pempengaruh itu masih boleh ditonton dan belum dipadamkan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.