Kepimpinan ulama Pas tidak akan berakhir

Mohd Zuhdi - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Zuhdi - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan ulama yang diterajui Pas tidak akan berakhir seperti yang diimpikan oleh DAP.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menegaskan, para ulama yang menjadi pemimpin utama Pas merupakan pemegang obor akidah yang menyuluhi anggota parti dalam perjuangan.

“Mereka (pemimpin utama Pas) adalah ideologi yang membingkai perjuangan, sementara golongan teknokrat atau profesional berperanan dalam aktivisme politik dan kehidupan sosial.

“Peranan ulama kekal relevan di dalam Pas bagi memastikan naratif yang dibawa bersifat ideologi maka, kepimpinan ulama tidak akan berakhir seperti yang diimpikan DAP,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi laluan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menduduki jawatan presiden.

Susulan daripada kenyataan itu, Mohd Zuhdi menyelar tindakan Kit Siang dan menyifatkan beliau tidak menggemari Pas yang kini di bawah kepimpinan Abdul Hadi.

“Sejujurnya saya tidak boleh menyelami apakah niat Kit Siang berkomentar seperti itu, sebaik sahaja kemenangan besar Dr Ahmad Samsuri baru-baru ini?

“Jelas beliau (Kit Siang) dan DAP sangat tidak menggemari Pas berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, sebagaimana yang pernah dimomokkan oleh anak beliau, Lim Guan Eng, bahawa DAP boleh terima Pas tetapi tidak presidennya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, ahli Pas tidak termakan dengan naratif momokan golongan mesra DAP, bahkan golongan teknokrat dan profesional terus subur berperanan di bawah naungan kepimpinan ulama.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa bahawa politik Malaysia kini sengit dengan pertembungan antara Pas dan DAP yang semakin terbuka dan ia dilihat sebagai satu perlawanan politik Islam dan Cauvinisme.

Menurutnya, dukungan Pas terhadap politik Islam dan perjuangan untuk mencapai matlamatnya, bukan bermula sewaktu era kepimpinan Abdul Hadi tetapi sejak Pas ditubuhkan pada tahun 1951.

“Kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah penerusan kepada era kepimpinan ulama malah beliau memperkukuhkannya lagi di dalam Pas,” ujarnya.