Ruang bincang agenda reformasi lebih menggalakkan di bawah kerajaan Anwar - Laporan

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

PETALING JAYA - Ruang bagi membincangkan agenda reformasi negara adalah lebih menggalakkan di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding pentadbiran sebelumnya meskipun lebih banyak usaha perlu dibuat bagi memastikan lebih banyak pembaharuan dilaksana.

CSO Platform for Reform, dalam Laporan Setahun Kerajaan Perpaduan berkata, penemuan adalah berdasarkan libat urus mereka dengan kerajaan Anwar dari Oktober 2022 hingga Oktober 2023, yang menyaksikan ia dapat berinteraksi dengan lebih baik pada tahap 36 peratus berbanding 17 peratus bagi tempoh sama iaitu 12 bulan (Oktober 2021 hingga Oktober 2022) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Ini adalah peningkatan sebanyak 19 peratus dalam aktiviti strategik, yang menunjukkan ruang bagi membincangkan agenda reformasi adalah lebih menggalakkan sekali gus membuktikan bahawa ini masa yang lebih baik untuk masyarakat sivil melibatkan diri dengan pihak berkepentingan,” kata Pengerusi CSO Jerald Joseph semasa pelancaran laporan itu di sini pada Isnin.

Terdiri daripada gabungan lebih 60 CCO yang berpangkalan di Malaysia, CSO Platform for Reform ialah kumpulan yang memfokus kepada pembaharuan dan memantau prestasi kerajaan sepanjang tahun melalui empat fokus teras iaitu reformasi kepimpinan tadbir urus, reformasi institusi, parlimen dan reformasi dewan undangan negeri selain reformasi undang-undang serta dasar utama.

Jerald berkata, empat teras utama itu akan menjadi panduan kepada laporan analisis sebagai tambahan kepada syor kolektif dengan harapan dapat melengkapkan serta memaklumkan usaha-usaha kerajaan menerusi aspirasi rakyat di lapangan.

"CSO Platform for Reform berharap untuk meneruskan aliran menaik dalam libat urus strategik dengan kerajaan MADANI dan agensi kerajaan untuk menganjurkan pembinaan keupayaan, advokasi dan program jangkauan komuniti bagi memastikan reformasi institusi bukan hanya sekadar perbincangan di peringkat penggubalan dasar tetapi juga adalah inklusif dan menjunjung suara rakyat dalam usaha memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Kebangsaan CSO, Beverly Joeman pula memuji usaha kerajaan yang antara lain telah mengusulkan agar lebih amai wanita diberikan peranan sebagai pembuat keputusan dalam sektor korporat sebagai respons kepada saranan berhubung penglibatan lebih ramai wanita dalam jawatan sebagai pembuat keputusan di semua peringkat.

Beliau turut memuji komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan akses kepada program bantuan guaman sedia ada terutama bagi kumpulan B40 dan berkata Malaysia kini mencadangkan Akta Pembelaan Awam yang bertujuan menambah baik perkhidmatan bantuan guaman jenayah dan memperkasa perkhidmatan bantuan guaman untuk mereka yang mungkin tidak mampu mendapatkan perwakilan perundangan.

Bagi reformasi institusi, Joeman berkata, CSO Platform for Reform juga berpandangan bahawa langkah meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah skop Parlimen Malaysia untuk tujuan akauntabiliti dan ketelusan adalah bagi membolehkan ia kekal konsisten dengan aspirasi Perdana Menteri dalam memastikan keteluasan serta kebebasan agensi itu.

Artikel Berkaitan:

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 iaitu lima hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum beliau mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri dan 28 ahli Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Dis 2022. - Bernama