Lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang dijangka isytihar sokong Anwar - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang, khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengisytiharkan sokongan kepada pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan semasa membabitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mengumumkan sokongan kepada kerajaan sejak bulan lalu dilihat sebagai sangat positif.

Menurutnya, semua pihak wajar bersangka baik atas tindakan itu dan kerajaan juga perlu bersedia berdepan realiti politik baharu tersebut.

"Kita berpandangan bukan hanya empat orang (Ahli Parlimen pembangkang) ini saja...tetapi kita menjangka mungkin lebih daripada itu yang akan memberikan dukungan kepada Perdana Menteri.

"Kita mesti bersangka baik dalam dukungan yang diberikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ahli Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Program Latihan TVET Belia Malaysia-China, di bangunan Parlimen, di sini pada Khamis.

Beliau mengulas tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu, iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli), yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Pada Rabu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mahu Anwar meneliti tindakan kesemua ahli Parlimen terlibat bagi memastikan agenda Reformasi Parlimen tidak tersasar daripada matlamat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mencabar Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membuktikan dakwaan wujud amalan rasuah dalam usaha menarik sokongan Ahli Parlimen Pembangkang dengan pemberian peruntukan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pihaknya akan berbincang dengan pemimpin di peringkat bahagian sama ada ahli parlimen pembangkang terbabit boleh kembali kepada UMNO memandangkan kebanyakan mereka adalah bekas ahli UMNO.

"Kita belum terfikir dalam perkara itu (kembali masuk UMNO) dan akan berbincang dengan pemimpin di bahagian atau kawasan Parlimen berkenaan untuk kita menentukan haluan baharu.

"Ini adalah suatu perkembangan politik yang baharu di negara ini. Oleh itu, biarpun mereka membantu dan menyokong Perdana Menteri, UMNO sebagai sebuah entiti politik harus memperkuatkan pengaruh di akar umbi bagi mengembalikan sokongan pengundi serta rakyat kepada siapa saja yang akan dicalonkan mewakili UMNO dan BN bagi kawasan berkenaan," katanya.