Negeri Sembilan lebih maju di bawah kerajaan PH - Edy Noor

Edy Noor Reduan
Edy Noor Reduan
A
A
A

SEREMBAN - Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh yang mendakwa pembangunan Negeri Sembilan tidak seimbang di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah kenyataan semberono dan tanpa fakta yang jelas.

Setiausaha Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, pemimpin Bersatu itu perlu lebih banyak menelaah perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Ini kerana tindakan seperti itu akan memperlihatkan lemahnya pengetahuan dirinya.

"Pembangunan di Negeri Sembilan cukup seimbang di mana kemajuan itu selari dengan perkembangan sosial, pendidikan modal insan dan agama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, Negeri Sembilan turut diiktiraf sebagai 'negeri bahagia' pada tahun 2021 yang menunjukkan pembangunan negeri cukup seimbang dan disenangi oleh rakyat.

Tambahnya, Negeri Sembilan khususnya di Seremban, Nilai, Pajam, Enstek, Sendayan, Senawang, Sikamat dan pelbagai kawasan lagi telah menjadi residensi pilihan oleh warga Lembah Klang.

"Ini fakta yang cukup membanggakan kerana secara tidak langsung ekonomi negeri terus berkembang pesat.

"Inilah bukti limpahan ekonomi apabila lebih banyak bandar baharu muncul di Negeri Sembilan dengan cukup terancang, " katanya.

Selain itu ujarnya, jumlah RM500 juta pendapatan kerajaan negeri atau nilai sebenarnya RM556 juta tidak wajar dipersenda kerana ia adalah hasil usaha negeri tanpa aktiviti pembalakan atau perlombongan petroleum.

Malah katanya, belanjawan pada tahun tersebut adalah lebihan RM147 juta atau hasil negeri 26 peratus lebih tinggi dari dari perbelanjaan.

"Jika dibanding dengan negeri Terengganu, hasil kutipan cukai cuma RM65 juta dan RM135 juta hasil kutipan bukan cukai.

"Selebihnya adalah RM1.609 bilion daripada terimaan bukan hasil iaitu dana khas kerajaan Persekutuan melalui bayaran hasil petroleum. Ini tiada di Negeri Sembilan, tetapi negeri jauh lebih maju di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, " katanya.

Selain itu katanya, dakwaan anak Negeri Sembilan terpaksa keluar untuk belajar adalah satu tuduhan jahat.

Edy Noor berkata, Negeri Sembilan merupakan negeri yang kaya pusat ilmu dengan pelbagai institusi pengajian di seluruh negeri.

"Sekolah di Negeri Sembilan juga amat cemerlang apabila merekodkan kedudukan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tertinggi selepas Putrajaya selama tujuh tahun berturut-turut sejak tahun 2015," katanya.