Universiti awam disaran sediakan pembelajaran bidang AI

Senator Datuk Sivarraajh Chandran ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara pada Jumaat. - Foto: Bernama
Senator Datuk Sivarraajh Chandran ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Dewan Negara pada Isnin mencadangkan supaya lebih banyak universiti awam (UA) terlibat dalam menyediakan pembelajaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) seiring dengan perkembangan teknologi itu yang dijangka mengubah landskap pekerjaan secara menyeluruh pada masa depan.

Senator Datuk Sivarraajh Chandran berkata, penglibatan lebih banyak institusi pengajian tinggi akan membuka ruang lebih luas kepada usaha melahirkan golongan pakar yang dapat membantu negara mendepani cabaran perubahan dan pembangunan dalam teknologi AI.

Menjadikan laporan kajian oleh Kementerian Sumber Manusia yang menganggarkan 4.5 juta pekerja di negara ini berdepan risiko kehilangan pekerjaan menjelang 2030 akibat AI dan Pembelajaran Mesin (MS), beliau berkata, penawaran lebih banyak pengajian dalam bidang AI boleh mengurangkan risiko itu.

"Walaupun sebahagian besar pekerjaan yang terancam ini tergolong dalam kumpulan pekerjaan separuh mahir dan tidak mahir, kita tidak sama sekali boleh memandang rendah terhadap perkembangan ini kerana ia melibatkan periuk nasi rakyat di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara pada Isnin.
Artikel Berkaitan:


Menyambut baik keprihatinan kerajaan menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membangunkan bakat dalam teknologi itu, beliau berkata, usaha itu perlu dipergiat dengan penyertaan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan bidang itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan penubuhan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan AI pertama negara di UTM dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta.

Sivarraajh berkata penglibatan lebih banyak institusi pendidikan yang menawarkan pengajian bidang AI boleh meyakinkan pelabur dalam industri itu untuk melabur di negara ini berikutan kemampuan menyediakan ‘talent pool’ atau kelompok bakat yang berwibawa bagi memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan. - Bernama