Tiga lot tanah tuntutan premium Kem Syed Sirajuddin RM2.162 bilion

Aminuddin Harun - Foto Bernama
Aminuddin Harun - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Terdapat tiga lot tanah dalam tuntutan premium Kem Syed Sirajuddin, Gemas iaitu Parcel H, Parcel J dan Parcel L dengan anggaran premium sebanyak RM2.162 bilion, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dimaklumkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan tuntutan kepada kerajaan Persekutuan bagi penyelesaian bayaran premium tanah berkenaan.

"Isu berhubung premium tanah di kem Gemas ini telah bermula sejak 2013.

"Pelbagai usaha perundingan melibatkan pelbagai peringkat pegawai tertinggi kerajaan sehingga peringkat menteri dilakukan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

"Perkara ini juga dibangkitkan dalam pelbagai mesyuarat utama Persekutuan termasuk semasa Majlis Kewangan Negara," katanya ketika menjawab soalan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) mengenai hutang kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri khususnya berkaitan kem Gemas.

Aminuddin berkata, bagaimanapun, Kementerian Pertahanan telah membuktikan terdapat warta bagi Military Firing Ground J pada 1941 dan memohon supaya kawasan berkenaan kekal sebagai tanah yang diwartakan sahaja.

"Sehubungan itu, kawasan Military Firing Ground J itu dikeluarkan menjadikan nilai bayaran premium tanah perlu dijelaskan kepada kerajaan negeri berjumlah RM1.272 bilion sahaja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) telah meneruskan pelaksanaan projek Ladang Satelit Nasional (LSN) dan Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau berkata, projek itu melibatkan LSN Londah yang dibangunkan di atas tanah seluas 128 hektar dan LSN Ulu Ladang di Gemas di kawasan 40 hektar, kedua-duanya dibina di atas tanah rizab Padang Ragut di bawah kawalan JPVNS.

"Ia dilengkapi dengan kemudahan serta infrastruktur asas penternakan termasuk 14 unit kandang berkapasti 200 ekor lembu setiap unit. Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah Rizab (JPTR) dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN) telah melantik penternak berkelayakan dan kompeten sahaja secara pajakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jalaluddin berkata demikian bagi menjawab soalan ketua pembangkang, Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) berkenaan usaha kerajaan negeri mengenai program LSN dan NFC.

Beliau berkata, JPVNS melalui peruntukan pembangunan P52, membelanjakan RM163,050 sejak 2020 hingga tahun ini bagi tujuan menaik taraf infastruktur ladang dan bantuan baka ternakan kepada penternak di kedua-dua LSN.

"Kerajaan negeri komited meningkatkan pengeluaran daging dalam negara, usaha ini selari dengan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025 dalam mencapai sasaran tahap sara diri bagi daging lembu dan kerbau, 38-40 peratus menjelang 2025,” katanya. - Bernama