Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak dibina tahun depan

Adly ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Adly ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak, Melaka bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang beroperasi sejak 1964 dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, projek hospital berkapasiti 150 katil itu telah diluluskan pembinaan tahun lepas dengan kos dianggarkan berjumlah RM325 juta.

“Hospital itu akan dilengkapi dengan kepakaran diperlukan dalam menyokong keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti kemudahan dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), kepakaran traumatologi, pembedahan am, ortopedik dan perubatan dalaman.

“Fasiliti tersebut turut menyediakan perkhidmatan klinik keluarga dan pesakit luar, pusat rehabilitasi serta kemudahan rawatan pergigian yang pastinya memberi manfaat kepada seluruh warga ATM, veteran ATM dan juga penduduk sekitar," katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai status terkini pembaikan HAT di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu Adly berkata, HAT Kem Terendak itu juga bakal dilengkapi kemudahan perubatan moden seperti Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) selain dihubungkan melalui sistem pengurusan hospital secara digital.

Sistem berkenaan jelasnya, bagi membolehkan maklumat pesakit dapat dikongsi secara bersama antara fasiliti kesihatan milik ATM dan awam secara maya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading), beliau memaklumkan, ATM sentiasa bersedia menawarkan kepakaran antaranya melalui pembinaan hospital medan kepada pihak yang memerlukan, termasuk aspek perubatan kepada penduduk Palestin.

“Perkhidmatan hospital medan telah ditawarkan ATM kepada Turkiye ketika negara itu dilanda gempa bumi pada Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kita sentiasa bersedia dan terpulang kepada keputusan kerajaan. Hospital medan itu sentiasa tersedia sama ada untuk perkhidmatan di dalam atau luar negara," ujarnya.