SSM sahkan terima laporan kewangan 2020 UiTM Holdings

Ahmad Sabki
Ahmad Sabki
A
A
A

KLANG - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak mengambil tindakan lanjut ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd kerana syarikat itu sudah menyerahkan laporan kewangan 2020 pada Februari lalu.

Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof berkata, anak syarikat Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu didapati mematuhi arahan dan ketetapan pihaknya.

Menurutnya, SSM sebelum ini sememangnya mengeluarkan arahan inkuiri berhubung laporan kewangan tahun tersebut.

"Pemeriksaan mendapati UiTM Holdings mematuhi arahan itu dan menyerahkannya pada Februari tahun ini.

"Justeru, tiada sebarang tindakan lanjut diambil mengikut Akta Syarikat 2016," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Semarak Daya Niaga Usahawan di Kompleks Perniagaan GM Klang di sini pada Isnin.

Sinar Harian pada Februari melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings Sdn Bhd.

Siasatan SPRM memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, tumpuan dan fokus siasatan adalah terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan sayap pelaburan UiTM Holdings yang sepatutnya menjana pendapatan kepada universiti itu direkodkan kerugian RM157.04 juta bagi tempoh empat tahun berturut-turut.

Menerusi laporan kewangan pada 2017 hingga 2021, syarikat itu didapati tidak memaklumkan laporan kewangannya bagi tahun 2020, justeru kerugian terkumpul dicatatkan dalam tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM157.8 juta.

Berdasarkan laporan SSM, anak syarikat UiTM yang ditubuhkan pada 2007 itu pernah mencatat keuntungan keseluruhan sebanyak RM26 juta pada 2011, 2014, 2015 dan 2016.

Bagaimanapun sehingga 2021,UiTM Holdings menanggung hutang sebanyak RM293 juta iaitu pada kadar 64 peratus berbanding jumlah aset RM456 juta, sementara liabiliti semasanya berjumlah RM74.92 juta.

Bulan lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi memaklumkan suntikan modal sebanyak RM259.98 juta oleh UiTM kepada UiTM Holdings tidak mempunyai kelulusan Menteri Kewangan yang tidak selaras dengan Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173).

Perkara itu antara isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Sabki, semua syarikat diwajibkan menyerahkan laporan kewangan kepada SSM setiap tahun.

"Suruhanjaya ini berfungsi untuk melakukan pengauditan laporan itu menerusi juruaudit luar.

"Ia kemudian melibatkan proses serah dan simpan semua maklumat berkenaan di SSM," ujarnya.

Ditanya mengenai isu UiTM Holdings memberikan dividen kepada pelabur tanpa memaklumkan laporan kewangannya, beliau berkata, perkara itu lebih melibatkan kepada LKAN.

Difahamkan, satu laporan berkaitan LKAN itu akan dibuat kepada SPRM Selangor di Shah Alam petang ini.

UiTM sebelum ini digesa mengambil tindakan mahkamah supaya kepincangan UiTM Holdings dapat dibongkar termasuk seandainya wujud ‘tangan ghaib’ yang cuba mengambil kesempatan terhadap syarikat berkenaan.