Kerajaan jimat puluhan juta melalui pembangunan IDN - Fahmi

Fahmi menyampaikan ucapan pada Forum 'Public Service Delivery System-Making It More Efficient and Effective' di Dewan Seri Baiduri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara pada Isnin. - Foto Bernama
Fahmi menyampaikan ucapan pada Forum 'Public Service Delivery System-Making It More Efficient and Effective' di Dewan Seri Baiduri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka membuat penjimatan puluhan juta ringgit melalui pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan IDN juga akan memastikan data pengguna dapat disimpan dengan lebih selamat, mengurangkan pertindihan, dan pada masa sama memperkasakan perkhidmatan awam.

"MyDigital ID salah satu kunci utama kenapa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memerlukan sistem ini.

"Sistem pelanggan (dikenali) EKYC adalah sesuatu yang menelan belanja agensi kerajaan jutaan ringgit setiap kali mahu disatukan dalam aplikasi.

"Cuba bayangkan setiap kali kita nak buat satu aplikasi pendaftaran yang berbeza-beza mengikut kementerian, jabatan dan agensi.

"... dan kita tak tahu apabila kita serahkan kad pengenalan atau gambar kita, ke mana perginya data ini. Maka, selain daripada MyDigital ID tak ada tanam cip dan rakam apa-apa (seperti cap jari pengguna), sistem itu sebenarnya untuk menjimatkan, mungkin berpuluh juta ringgit untuk pembinaan atau pembangunan aplikasi baharu," katanya pada Isnin.

Beliau berucap pada Forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap Dan Berkesan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, di sini.

Berucap lanjut, Fahmi berkata, penyepaduan sistem data merentas pelbagai agensi kerajaan disifatkan sebagai penting bagi memastikan aliran maklumat yang lancar antara jabatan.

Ujarnya, penyepaduan berkenaan bukan sahaja menambah baik proses membuat keputusan tetapi juga menghalang rakyat daripada berulang kali memberikan maklumat sama kepada entiti yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Komunikasi antara agensi-agensi kerajaan juga perlu diperkukuhkan. Kejelasan dalam aliran maklumat dan kerjasama antara agensi boleh mengurangkan kelewatan dalam proses penyampaian perkhidmatan.

"Saya benar-benar percaya bahawa pelaburan dalam latihan berterusan dan peningkatan kemahiran kakitangan awam adalah sangat penting.

"Apabila kita memperkenalkan teknologi dan metodologi baharu, tenaga kerja kita harus dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan dan memanfaatkan kemajuan ini," tambah beliau.

Mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) pula, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata teknologi tersebut mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam jika ia dimanfaatkan dengan baik.

Justeru, beliau memberi bayangan akan mengadakan perbincangan berhubung garis panduan penggunaan AI dalam kalangan penjawat awam seperti pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

"Setakat ini belum ada apa-apa arahan boleh atau pun tak boleh guna AI, mungkin nanti saya kena ada sedikit perbincangan. AI di bawah jagaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kita lihat mungkin sangat bermanfaat kalau kita faham dan fasih menggunakannya.

"Di beberapa negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), agensi seumpama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) telah menghasilkan AI sendiri. AI ini membantu menjawab soalan-soalan mengenai visa dan kelayakan untuk warganegara di UAE," ujarnya.- Awani