Digital ID permudahkan agihan bantuan dalam situasi krisis

Pelaksanaan digital ID dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat akan memudahkan pengesahan dan pengagihan bantuan dalam situasi krisis atau bencana alam. - Foto hiasan 123RF
Pelaksanaan digital ID dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat akan memudahkan pengesahan dan pengagihan bantuan dalam situasi krisis atau bencana alam. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat akan memudahkan pengesahan dan pengagihan bantuan dalam situasi krisis atau bencana alam, sekali gus memastikan bantuan cepat dan tepat sampai kepada mereka yang memerlukan.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, IDN mampu mengurangkan birokrasi serta mengoptimumkan impak penyaluran subsidi kerajaan dengan membantu proses penyaluran bantuan kepada golongan sasaran secara terus, lebih tepat dan berkesan.

"Ini sangat bermanfaat dalam konteks pemberian bantuan kewangan atau subsidi kerajaan, memastikan bantuan bersasar dapat diberikan dengan lebih cepat dan mengurangkan kesusahan rakyat dalam menerima manfaat yang mereka layak,” katanya kepada Bernama.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata kerajaan buat masa ini tidak memaksa mana-mana individu berdaftar dengan Digital ID, namun menggalakkan penjawat awam keseluruhannya untuk mendaftar kerana pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan segala bentuk penyasaran subsidi akan disalurkan melalui Digital ID berkenaan.

MIMOS Bhd dilantik kerajaan sebagai agensi pelaksana dengan peruntukan awal RM80 juta.

Ahmad Noordin yang pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Bukit Aman berkata, dalam konteks keselamatan siber, beliau difahamkan IDN menggunakan teknologi sijil digital untuk meningkatkan keselamatan transaksi dalam talian.

Sijil digital ini ialah bentuk teknologi pengesahan yang menggunakan kriptografi untuk mengaitkan kunci kriptografi dengan identiti pemiliknya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu meneliti isu penting iaitu kemungkinan IDN dijadikan sebagai "mule ID” atau keldai ID oleh pihak ketiga dengan identiti digital yang sepatutnya melindungi data pengguna boleh disalahgunakan untuk tujuan penipuan atau aktiviti haram.

Kerajaan katanya, perlu memastikan bahawa terdapat langkah-langkah keselamatan yang kukuh untuk mencegah penyalahgunaan IDN, menjaga integriti sistem serta kepercayaan rakyat terhadap inisiatif ini.

"MCCA mendukung aspirasi IDN untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, tetapi harus diingat, penyeliaan sistem IDN ini perlulah penuh integriti dan konsisten bagi mengelakkan ia disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Noordin berkata, pendidikan digital yang menyeluruh akan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat penuh daripada IDN, mencegah kesenjangan digital dan memastikan keberhasilan jangka panjang inisiatif pendigitalan negara. - Bernama