Sanusi harap kerajaan pusat beri perhatian projek impak tinggi

Muhammad Sanusi hadir ke himpunan solidariti rakyat Palestin pada Jumaat.
Muhammad Sanusi hadir ke himpunan solidariti rakyat Palestin pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus berharap agar kerajaan akan meluluskan projek berimpak tinggi untuk negeri Kedah dalam Belanjawan 2024 petang ini.

Menurutnya, ia turut membabitkan projek yang dicadangkan melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

"Kita harap Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini (Jumaat) menggembirakan rakyat Malaysia dan ada pengumuman yang menggembirakan rakyat Kedah.

"Beberapa projek yang kita cadangkan dengan pembiayaan PFI itu akan dilepaskan, akan dibenarkan... akan diluluskan dalam belanjawan petang ini," katanya kepada media.

Beliau ditemui ketika hadir ke Himpunan Solidariti Rakyat Palestin di Dataran Zero Kilometer di sini pada Jumaat.

Menurut Muhammad Sanusi, projek besar itu sangat penting bagi menjayakan The Greater Kedah 2035.

"Kalau keupayaan kewangan Persekutuan tidak mengizinkan, kerajaan membenarkan kita mengadakan kerjasama, usaha sama dengan pihak swasta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perarakan himpunan diketuai konvoi berkuda bagi menyatakan sokongan ke atas rakyat Palestin.
Perarakan himpunan diketuai konvoi berkuda bagi menyatakan sokongan ke atas rakyat Palestin.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kemampuan kewangan membangunkan KXP, selain mendedahkan syarikat tempatan yang dipilih kerajaan negeri melaksanakan projek terbabit turut tidak berupaya berbuat demikian.

Muhammad Sanusi bagaimanapun dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 18 firma berminat membangunkan projek KXP sekiranya syarikat tempatan yang dipilih tidak berupaya melaksanakannya.

Terdahulu, kira-kira 5,000 umat Islam hadir ke himpunan solidariti yang bermula kira-kira 2 petang sebelum kemuncak dengan kehadiran Muhammad Sanusi sekitar jam 3 petang.

Himpunan turut diketuai konvoi berkuda selain terdiri daripada pelbagai golongan termasuk wanita dan kanak-kanak sebagai tanda sokongan ke atas perjuangan Palestin menentang rejim Zionis.