Kes abai kanak-kanak di Perak meningkat 3 tahun berturut-turut

Salbiah ketika menjawab soalan lisan Wasanthee ketika Sidang DUN Perak pada Isnin. - Foto Urusetia DUN Perak
Salbiah ketika menjawab soalan lisan Wasanthee ketika Sidang DUN Perak pada Isnin. - Foto Urusetia DUN Perak
A
A
A

IPOH - Kes melibatkan penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak di Perak mengalami peningkatan selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2020 hingga 2023.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, terdapat empat jenis penganiayaan terhadap kanak-kanak iaitu penderaan seksual, fizikal, emosi dan pengabaian.

Menurutnya, kes tertinggi dicatat pada tahun 2022 iaitu sebanyak 532 kes diikuti pada tahun 2021 (370 kes) dan 332 kes pada tahun 2020.

"Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi trend turun naik graf statistik kes penganiayaan atau pengabaian kanak-kanak ini. Seperti kita semua sedia maklum, peningkatan mendadak berlaku pada tahun 2021 dan 2022 yang merupakan tahun Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat serangan Covid 19.

"Dalam tempoh ini, tekanan dan kesulitan hidup rakyat yang terpaksa berkurung di rumah telah membuatkan emosi amat menekan sehinggakan kanak-kanak turut dijadikan mangsa," katanya ketika menjawab soalan lisan S Wasanthee (PH-Hutan Melintang) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.

Salbiah berkata, bagaimanapun bagi kes yang sama untuk tahun semasa iaitu sehingga 30 November 2023, berlaku penurunan yang signifikan iaitu sebanyak 168 kes sahaja yang telah dilaporkan dan sedang diurus dengan cermat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pola peningkatan kes yang berlaku perlu dilihat dalam satu sisi pandang yang amat positif melibatkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat untuk melaporkan sebarang kes kepada pihak berkuasa.

"Sepanjang Tahun 2023 ini, kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat bersama JKM telah bekerja secara sinergi bersama pelbagai pihak secara rentas agensi dengan turun secara agresif ke sekolah-sekolah dan institusi pendidikan dalam memberi kesedaran yang kuat agar usaha melawan serta melaporkan kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak dapat digerakkan dan menjadi budaya yang mampan.

Artikel Berkaitan:

"Tahun ini sahaja, kerajaan negeri telah menjalankan program advokasi ke 35 lokasi dengan penyertaan melebihi 3,000 orang pelajar," katanya.