Pahang perketat proses pajakan, pindah milik tanah - Wan Rosdy

Wan Rosdy berucap ketika merasmikan Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang hari ini. - Foto Bernama
Wan Rosdy berucap ketika merasmikan Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah memperketatkan proses bagi pajakan, gadaian, pindah milik dan pelupusan tanah rizab Melayu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Langkah itu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan pegangan tanah rizab Melayu di Pahang agar terus terpelihara, justeru beliau berkata, semua permohonan bagi tujuan pajakan dan pemilikan perlu diangkat untuk pertimbangan serta kelulusan pihak berkuasa negeri.

Beliau berkata, setakat ini jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang telah diwartakan berkeluasan 397,619.05 hektar di seluruh Pahang.

"Bagi memastikan keluasan kawasan tersebut dikekalkan, sebarang pembatalan ke atas rizab Melayu perlulah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri dan penggantian kawasan baru akan dilaksanakan serentak.

"Selain daripada itu, bagi menambah jumlah keluasan tanah rizab Melayu, semua Projek Skim Tanah Rakyat (STR) turut diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu," katanya ketika berucap pada Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan antara inisiatif yang dijalankan kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi pendapatan dan ekonomi golongan bumiputera adalah melalui pelaksanaan STR dengan projek ekonomi yang dijalankan adalah berasaskan projek pertanian.

Menerusi pelaksanaan STR beliau berkata, kerajaan negeri juga dapat memberi peluang kepada rakyat terutamanya bumiputera yang masih belum mempunyai tanah untuk memiliki aset dan sekali gus dapat dibangunkan secara ekonomik.

Bagi merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kadar pengangguran pula pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan negeri terutama dalam bidang keusahawanan melibatkan kaum bumiputera antaranya pelaksanaan Skim I-Push berjumlah RM20 juta telah diperuntukkan pada 2022 dan 2023.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menetapkan kuota sebanyak 30 peratus bagi pekerja bumiputera dalam kalangan rakyat Pahang bagi memastikan penglibatan bumiputera dalam industri pembinaan.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, kebanyakan projek sakit di Pahang berpunca antaranya daripada kontraktor yang dilantik dan punca mengenai faktor itu harus dikenal pasti.

"Misalnya di Jelai sahaja ada 26 projek yang sakit, saya dimaklumkan bahawa 70 hingga 80 peratus adalah masalah kontraktor...masalah ini akan memberi kesan kepada rakyat," katanya. - Bernama