[VIDEO] Kaji semula tawaran pilihan raya di negeri PN - Ahmad Maslan

A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Perpaduan diminta mengkaji semula tawaran yang dibuat pada pilihan raya selepas ini, susulan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, punca utama kekalahan pada PRK Kemaman disebabkan tawaran dibuat kerajaan negeri ditadbir Pas mungkin lebih menarik berbanding tawaran oleh kerajaan Pusat.

"Apakah tawaran diberi kerajaan Terengganu itu, kita perlu buat analisis secara terperinci dahulu.

"Calon Barisan Nasional (BN) juga buat tawaran lima perkara, tetapi kita kena banding dengan tawaran dibuat Pas apabila memerintah pada 2018 dan disambung pada 2023.

"Oleh itu, penganalisis politik perlu lihat lihat dahulu tawaran dan pelaksanaan tawaran kerajaan Terengganu dalam tempoh berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama penghulu dan ketua kampung di Bangunan UMNO Pontian di sini pada Ahad.

Timbalan Menteri Kewangan I berkata, BN perlu mengakui dengan rendah diri atau tawaduk berhubung tawaran kerajaan Terengganu yang selama ini diterima dengan cukup baik oleh rakyat mereka.

"Kerajaan Perpaduan dan UMNO tidak perlu rasa kecewa apabila tewas PRK Kemaman.

"Namun tawaran kepada rakyat empat negeri PN membabitkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis itu mesti lebih berkesan, tidak semestinya lebih banyak tetapi dirasai rakyat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK Kemaman, calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas kepada calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 37,220 undi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas memperoleh 64,998 undi berbanding 27,778 diperoleh lawannya itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!