'Terima kasih kepada pengundi BN' - Raja Affandi

Mohamed Affandi. - Foto Bernama.
Mohamed Affandi. - Foto Bernama.
A
A
A

KEMAMAN - Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menzahirkan penghargaan kepada seramai 27,778 pengundi yang memberikan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera UMNO, BN dan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat bahagian, negeri dan seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu berkempen buat dirinya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada 27,778 orang Kemaman yang memberi sokongan kepada saya dalam PRK ini.

"Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada ALLAH SWT,” katanya dalam kenyataan di sini pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pas kerana berjaya mengekalkan penguasaan parti tersebut di kerusi Parlimen berkenaan.

"Tahniah saya ucapkan kepada Ahmad Samsuri dan Pas atas kemenangan yang mereka peroleh dalam PRK Parlimen Kemaman," ujarnya.

Pas berjaya mengekalkan status quo apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dengan majoriti yang lebih besar, dengan penambahan lebih 10,000 undi.

Calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperolehi 27,778 undi.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.