PRK Kemaman: Ahmad Samsuri menang majoriti besar

Ahmad Samsuri (tengah) diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Ahmad Samsuri (tengah) diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Pas berjaya mengekalkan status quo apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dengan majoriti yang lebih besar, dengan penambahan lebih 10,000 undi.

Calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala pesaingnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dari Barisan Nasional (BN) memperolehi 27,778 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, malam Sabtu.

Ahmad Farhan turut mengumumkan peratusan keluar mengundi adalah 65.76 peratus, dengan 49 pusat mengundi melibatkan 244 saluran mengundi.

Jumlah tersebut kurang sedikit daripada sasaran awal 70 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Sebelum ini, 387 anggota Polis Diraja Malaysia dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 November, telah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada musim banjir.

Proses pengundian awal pula dijalankan pada 28 November di Balai Polis Kijal di sini melibatkan tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

Artikel Berkaitan:

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan Che Alias daripada Pas pada PRU15 lalu.

Sementara itu, kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat meraikan kemenangan Pas di Arena Square dengan kehadiran lebih 10,000 penyokong.

Ahmad Samsuri kemudiannya berarak ke Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman sambil diiringi Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim; Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Razli Idris dan kepimpinan Pas serta PN.