Isu Kelantan FC: Ketegasan MFL penting demi imej liga bola sepak negara

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Richard
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Richard
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diyakini akan bertindak tegas dan tidak akan memberikan sebarang kelonggaran dalam kes semakan dokumen Kelantan FC berhubung permohonan lesen kebangsaan.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berkata, sekiranya Kelantan FC benar-benar tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan, maka pasukan itu tidak seharusnya diberikan lesen kebangsaan.

Malah, beliau berkata, Kelantan juga memang diakui mempunyai masalah untuk membayar gaji pemain serta pegawai dan memberikan kebenaran untuk terus beraksi di Liga Super musim depan mungkin bakal mengundang masalah lebih serius.

“Semakan dokumentasi satu keperluan untuk melihat sama ada kelab itu bersedia untuk bersaing dalam liga musim depan. Kalau tidak memenuhi dokumentasi, automatik tak layak.

“Kita tidak mahu masalah tunggakan gaji ini terus berlaku memandangkan kita memang sudah nampak 'track record' pasukan-pasukan kemungkinan mereka tidak mampu.

“Jadi, ketegasan MFL itu penting agar imej bola sepak kita tidak terus rosak dengan masalah sebegini," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada Jumaat, MFL mengesahkan Kelantan FC menghantar dokumen pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai dan kini dalam proses semakan oleh badan bebas pelesenan kelab Liga Malaysia, First Instance Body (FIB).

Sebelum ini, Kelantan FC tidak diberikan lesen kebangsaan selepas pihak FIB mendapati pasukan itu mempunyai tunggakan gaji dalam deklarasi pada 31 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Mereka kemudiannya diberikan peluang terakhir untuk menghantar dokumen pembayaran gaji pemain dan pegawai tersebut sebelum 30 November untuk diberikan lesen kebangsaan.

Sekiranya kesemua dokumen itu lengkap, Kelantan FC masih belum selamat dan perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Ia termasuk penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.

Dalam masa sama, MFL juga melalui kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam tetap mengharapkan 14 pasukan termasuk Kelantan FC dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Dalam pada itu, Richard juga percaya mana-mana pasukan mengetahui risiko kewangan apabila beraksi dalam saingan Liga Super dan sekiranya tidak mampu perlu berbelanja secara berhemah.

"Indikasi hukuman yang telah dikenakan MFL sebagai contoh kes Melaka United dan Sarawak United yang tidak boleh beraksi dalam saingan menunjukkan badan pengelola liga itu mahu semua pasukan berhati-hati.

"Pasukan perlu tahu had mereka, tetapi kalau buat-buat tak faham akan berterusan hadapi masalah kewangan. Mereka kena faham implikasi masalah ini bukan sahaja kepada pasukan malah imej bola sepak negara,"katanya.