Kelantan masih mahu beraksi di Liga Super

Skuad Kelantan FC akan cuba yang terbaik untuk memenuhi permintaan FIB bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Skuad Kelantan FC akan cuba yang terbaik untuk memenuhi permintaan FIB bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
A
A
A

KELANTAN FC tetap mahu terus beraksi di Liga Super musim depan dan akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan First Instance Body (FIB) sebelum tarikh akhir pada 30 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, segala permintaan daripada pihak FIB itu sedang dalam proses dan yakin ia boleh diselesaikan menjelang tarikh akhir nanti.

"Masalah yang kita hadapi adalah sesetengah pemain yang tidak mahu menerima persetujuan bersama untuk penyelesaian gaji tersebut. Namun, kita akan cuba sehingga tarikh akhir nanti.

"Sasaran kita adalah untuk terus beraksi di Liga Super dan apa juga arahan daripada FIB akan kita laksanakan dengan baik," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebelum ini, FIB mengarahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan tunggakan gaji bagi bulan Julai dan Ogos atau mendapatkan persetujuan bersama dengan pemain sebelum 30 November untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

Jika gagal, Kelantan secara automatiknya tidak akan mendapat lesen kebangsaan dan hanya boleh beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan.

Skuad pantai timur itu juga telah dikenakan hukuman dendan RM20,000 kerana gagal mematuhi tempoh masa yang ditetapkan oleh FIB.

Ahmad Muzakkir berkata, mereka akur dengan hukuman denda yang telah dikenakan kepada pasukan itu dan dalam masa sama enggan untuk bercakap mengenai kemungkinan pasukan 'turun pangkat' ke Liga M3.

Artikel Berkaitan:

"Kita akur dengan apa yang telah diputuskan oleh FIB kerana memang betul kita gagal untuk mematuhi tempoh masa itu.

"Namun, kita sedang cuba memperbaiki segala masalah ini dan saya tidak mahu bercakap langsung mengenai Liga M3 kerana kami tidak berfikir tentang perkara tersebut. Fokus kami adalah menyelesaikan permintaan FIB," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!