KDA FC berpeluang rebut slot Liga Juara-Juara AFC 2 musim depan

Nafuzi (tiga dari kanan) mengakui pasukannya perlu konsisten dengan memperolehi kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir selepas ini. - Foto: KDAFC
Nafuzi (tiga dari kanan) mengakui pasukannya perlu konsisten dengan memperolehi kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir selepas ini. - Foto: KDAFC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mempunyai peluang untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 musim depan, selepas mengutip tiga mata penuh dengan mengalahkan Kelantan FC 6-1 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Ketua Jurulatihnya, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkata, kemenangan itu penting kepada pasukannya, bagi merapatkan jarak kutipan mata dengan pasukan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super.

"Sekarang ini kita hanya mempunyai perbezaan dua mata dengan Selangor dan mempunyai dua lagi baki perlawanan saingan liga.

"Tumpuan pada masa ini ialah merebut slot ke pertandingan tier 2 AFC itu, selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke kejohanan tier 1 (Liga Juara-Juara Elit AFC). Jadi persaingan ketika ini hanya Kedah dan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di sini malam tadi.

Kedudukan semasa Liga Super menyaksikan JDT berada di kedudukan pertama dengan 70 mata, Selangor di kedudukan kedua (55 mata) dan Kedah tempat ketiga (53 mata).

Mohd Nafuzi berkata, pasukannya perlu konsisten dengan memperolehi kemenangan dalam kedua-dua perlawanan terakhir selepas ini.

"Selepas ini kita akan bertemu dengan Selangor di tempat sendiri dan ia menjadi kelebihan kepada kita, jadi perlawanan ini amat penting,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera berkata, pemain muda Kelantan FC perlu diberi lebih masa bagi membolehkan mereka berpengalaman dalam beraksi pada saingan liga yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus positif kerana pemain bermati-matian di atas padang sehingga minit terakhir walaupun berdepan dengan pasukan lebih kuat, setidak-tidaknya pemain mendapat pengalaman untuk ke hadapan.

"Saya sering beritahu pemain, kesempatan yang mereka dapat bermain perlu digunakan sebaik mungkin, kerana banyak pasukan dalam Liga Malaysia yang menonton prestasi,” katanya.

Beliau berkata, pemain muda Kelantan FC mempunyai pontesi untuk dikembangkan sekiranya diberi peluang bermain dengan pasukan yang lengkap, sama ada pemain import atau pemain tempatan berpengalaman. - Bernama