Maritim laksana 1,114 tangkapan, selamat 1,365 nyawa

Hamid (dua dari kanan) turut hadir pada Hari Media Maritim Malaysia pada Sabtu. - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Mohd Rosli)
Hamid (dua dari kanan) turut hadir pada Hari Media Maritim Malaysia pada Sabtu. - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Mohd Rosli)
A
A
A

MANTIN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan 154,463 pemeriksaan, 38,867 penggeledahan dan 1,114 tangkapan sejak Januari hingga November lalu.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Laksamana Muda Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, selain itu, dalam tempoh sama, Maritim Malaysia juga berjaya menyelamatkan 1,365 nyawa mangsa daripada 1,487 kes operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut.

"Maritim Malaysia turut berperanan dalam operasi bersama dengan negara jiran dalam memerangi jenayah rentas sempadan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Hari Media Maritim Malaysia 2023 dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, pihaknya juga menjalankan pelbagai operasi dalam menangani pencemaran maritim dengan mengambil langkah proaktif melindungi kehidupan di laut khususnya daripada ancaman pencerobohan bot nelayan asing.

"Selain itu, kita turut memantau aktiviti 'ship to ship transfer' yang berpotensi menjadi punca tumpahan minyak," katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, jalinan yang dibina melalui program menembak bersama media ini dapat membantu kedua-dua pihak dalam penyebaran maklumat sahih dan tepat berkaitan isu serta operasi dikendalikan agensi itu.

Artikel Berkaitan: