Maritim Malaysia, USCG jalani latihan bersama

Maritim Malaysia dan USCG menjalani latihan secara bersama di atas kapal USCG Cutter Munro, di sekitar perairan Laut China Selatan bermula 26 Ogos hingga Isnin.
Maritim Malaysia dan USCG menjalani latihan secara bersama di atas kapal USCG Cutter Munro, di sekitar perairan Laut China Selatan bermula 26 Ogos hingga Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) menjalani latihan secara bersama di atas kapal USCG Cutter Munro, di sekitar perairan Laut China Selatan bermula 26 Ogos hingga Isnin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek berkaitan penguatkuasaan maritim dan keselamatan laut di rantau ini.

"Kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG adalah satu langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan perairan.

"Latihan ini adalah contoh kerjasama erat dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pegawai dari kedua-dua agensi," katanya pada sesi latihan di atas kapal USCGC Munro di sini pada Isnin.

Antara aktiviti dan latihan yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak adalah latihan penggeledahan dan Damage Control Fire Fighting (DCFF).

Selain itu, Maritim Malaysia juga dijemput untuk membuat lawatan di atas kapal USCG USCGC Munro bagi melihat sendiri keupayaan serta kelengkapan kapal tersebut.

Ia bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai dan anggota yang terlibat terhadap aspek kesiapsiagaan dan operasi penguatkuasaan maritim.

Aminuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan aktiviti ini.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi bersama agensi penguatkuasaan maritim luar negara bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran perairan serantau.

Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan AS, Manu Bhalla berkata, lawatan kapal USCGC Munro hanyalah satu contoh perkongsian kukuh antara AS dengan Malaysia mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang.

"Kita bekerjasama dalam kesedaran domain maritim, latihan bersama, memerangi penangkapan ikan yang haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal, serta usaha penguatkuasaan undang-undang yang lain,” katanya.

Sementara itu, pegawai memerintah USCGC Munro, Kapten Rula F. Deisher menzahirkan rasa gembira kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan rakan dari Maritim Malaysia.

"Kami teruja dengan aktiviti bersama di laut yang bakal dilakukan sambil merapatkan jalinan kebolehoperasian kedua-dua belah pihak,” ujarnya.