Bajet lebih RM4 juta projek pencahayaan di Jempol

Antara lokasi yang terlibat dalam projek naik taraf sistem pencahayaan di Jempol.
Antara lokasi yang terlibat dalam projek naik taraf sistem pencahayaan di Jempol.
A
A
A

JEMPOL - Sistem pencahayaan di daerah Jempol bakal dinaik taraf apabila kerajaan Persekutuan memperuntukkan kos sebanyak RM4,497,000 untuk tujuan tersebut.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, projek tersebut melibatkan dua fasa dengan membabitkan 21 lokasi.

Menurutnya, fasa pertama telah pun bermula Oktober lalu dan dijangka siap hujung tahun ini, manakala fasa kedua yang bermula bulan lepas pula dijangka siap Januari depan.

"Bagaimanapun kerja naik taraf ini tertakluk kepada pindaan dari masa ke masa.

"Antara lokasi yang terlibat adalah jalan utama Taman Meranti, Taman Desa Puteri, Kampung Taman Jaya dan Bandar Seri Jempol," katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, skop kerja menaik taraf sistem pencahayaan tersebut termasuk membabitkan kerja-kerja penggantian tiang dan pemasangan tiang baharu sebanyak 254 unit, penggantian lampu dan pemasangan lampu baharu LED sebanyak 772 unit, penggantian kabel dan pemasangan panel meter.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, projek tersebut merupakan salah satu janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dalam membangunkan Negeri Sembilan timur.

"Selain pembangunan dari segi ekonomi, kemudahan infrastrukturnya juga diberi keutamaan oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, Negeri Sembilan timur seperti di Jempol menerima peruntukan tidak begitu besar jika dibandingkan dengan daerah Seremban. Kawasan ini juga memerlukan infrastruktur yang baik seperti sistem pencahayaan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Kok Seong yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau berkata, setakat ini masalah banjir di beberapa lokasi berisiko di Bahau terkawal, malahan risiko banjir kilat berkurangan 50 peratus.

"Ini susulan usaha kita menaik taraf sistem saliran dan longkang, sekali gus dapat mengurangkan risiko banjir," katanya.