Negeri Sembilan bentang belanjawan defisit RM35 juta

Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan pada Persidangan ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15, pada Jumaat. - Foto Bernama
Aminuddin ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Sembilan pada Persidangan ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2024 dengan defisit berjumlah RM35 juta pada Jumaat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH- Sikamat) berkata, belanjawan membabitkan RM555 juta dengan anggaran hasil RM520 juta dan belanjawan pembangunan RM140 juta.

Menurutnya, belanjawan bertemakan ‘Bersama Membina Negeri Madani' itu memberi fokus kepada sembilan teras dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dan Skim Sejahtera Rakyat.

"Ia termasuk merangkumi ekonomi, pelaburan dan infrastruktur, pendidikan dan modal insan serta kesejahteraan rakyat dan pertanian.

“Belanjawan 2024 yang dicadangkan ini merupakan belanjawan defisit sebanyak RM35 juta. Jumlah hasil dijangka RM520 juta iaitu peningkatan RM70 juta atau 15.55 peratus berbanding RM450 juta pada tahun lepas," katanya.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula Jumaat hingga 11 Disember depan akan bersambung Isnin ini. - Foto Bernama
Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula Jumaat hingga 11 Disember depan akan bersambung Isnin ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini pada Jumaat.

Katanya, ini merupakan belanjawan pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada Ogos lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kita tekad jadikan Negeri Sembilan sebagai model negeri maju, bersatu padu, bertamadun, serta kehidupan rakyat aman dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, daripada anggaran hasil berjumlah RM520 juta itu, kutipan hasil cukai adalah RM160.01 juta atau 30.77 peratus, berbanding RM159.84 juta pada tahun lepas.

"Hasil bukan cukai terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran RM300.24 juta (57.74 peratus) iaitu meningkat RM72.28 juta berbanding RM227.96 juta, tahun lepas.

" Terimaan bukan hasil dijangka mengalami sedikit penurunan sebanyak RM2.45 juta kepada RM59.75 juta pada tahun ini berbanding RM62.2 juta, tahun lepas antaranya disebabkan oleh penurunan anggaran terimaan cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tahun depan, sebanyak 284 projek dipertimbangkan bagi maksud pembangunan melibatkan 220 projek baharu dan 64 projek sambungan atau projek sedia ada.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula Jumaat hingga 11 Disember depan akan bersambung Isnin ini.