Tulisan Jawi: Dong Zong tidak perlu cari alasan

Abu Bakar menyerahkan sumbangan kepada salah seorang anak fakir miskin sempena Program Kembali Ke Sekolah dan Agihan Bantua di Sungai Abong, Muar, Johor semalam.
Abu Bakar menyerahkan sumbangan kepada salah seorang anak fakir miskin sempena Program Kembali Ke Sekolah dan Agihan Bantua di Sungai Abong, Muar, Johor semalam.
A
A
A

MUAR - Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak perlu mencari alasan bagi menolak keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah vernakular tahun depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya berkata, tindakan Dong Zong yang bertegas tidak mahu pelaksanaan pembelajaran Jawi dilaksanakan selain mendakwa dibantah lebih 900 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) didapati tidak berasas kerana tidak menjurus kepada usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini.

"Dalam negara kita yang berbilang kaum ini, perpaduan merupakan satu perkara yang amat penting. Bagi memastikan perpaduan ini dapat dipupuk, salah satu caranya ialah menerusi penguasaan Bahasa Melayu termasuk pemahaman terhadap budaya serta sejarah tulisan Jawi.

"Namun, Dong Zong saya fikir telah gagal melihat usaha kerajaan itu dari sudut positif. Sebaliknya Dong Zong seolah-olah melihat isu tulisan jawi ini dari ruang lingkup sempit dan hanya melibatkan kepentingan satu kaum serta satu aliran pendidikan semata-mata,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian mengulas kenyataan Dong Zong semalam yang mendakwa lebih 900 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara menolak pembelajaran tulisan jawi dan menyifatkannya bukan dalam konteks kepelbagaian.

Dalam kenyatan itu, Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng berkata, 900 sekolah itu menandatangani kajian bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJKC.

Katanya, NGO itu perlu sedar bahawa keputusan kerajaan dalam isu Jawi ini adalah selari serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Abu Bakar turut mengingatkan Dong Zong supaya tidak keterlaluan dalam mengemukakan pendirian berhubung isu pengajaran Jawi kerana dibimbangi akan mencetuskan polemik yang berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana jika ada pihak lain turut mendesak supaya sekolah vernakular dimansuhkan kerana penubuhannya tidak terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebaliknya atas ihsan kerajaan sahaja.

“Apakah Dong Zong boleh menerima perkara seumpama itu?," soalnya.

Terdahulu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah serta wang saku kepada 35 pelajar dari keluarga fakir miskin di kawasan Parlimen Bakri sempena Program Kembali Ke Sekolah dan Agihan Bantuan di Sungai Abong, di sini semalam.

Selain para pelajar, beliau turut menyampaikan bantuan makanan kepada 20 penerima fakir miskin dalam program yang sama.