Perak rekod 27 kes demam babi Afrika

Rampasan 25,142 kilogram karkas babi hasil serbuan di dua premis sejuk beku di Menglembu pada 22 November lalu. - Foto Veterinar Perak
Rampasan 25,142 kilogram karkas babi hasil serbuan di dua premis sejuk beku di Menglembu pada 22 November lalu. - Foto Veterinar Perak
A
A
A

IPOH - Sebanyak 27 kes positif penyakit demam babi Afrika (ASF) dilaporkan di Perak sejak mula dikesan Disember 2021.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, jumlah itu melibatkan sembilan kes pada babi hutan dan 18 kes lagi dikesan di ladang komersial.

"Sehingga kini, belum ada vaksin yang boleh digunakan untuk melindungi babi daripada jangkitan virus ASF ini.

"Jadi tindakan kawalan dan pembasmian telah dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri melalui pemusnahan keseluruhan babi di ladang yang terjangkit," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Sivanesan (kiri) bersama Dr Ahmad Shafri dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Sivanesan (kiri) bersama Dr Ahmad Shafri dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Sivanesan berkata, tindakan kawalan berterusan dilakukan Perkhidmatan Veterinar Perak berjaya mengesan jangkitan ASF pada karkas babi yang diseludup dari negara tidak dibenarkan diimport.

Katanya, tindakan itu hasil serbuan di dua premis sejuk beku di Menglembu pada 22 November lalu melibatkan 25,142 kilogram karkas babi berjumlah lebih RM502,000.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan Bahagian Kesihatan Veterinar mendapati, karkas tersebut tidak disembelih di rumah persembelihan yang dilesenkan dan persampelan dihantar, menunjukkan positif ASF.

"Siasatan lanjut ke atas pengusaha premis itu dilakukan di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647), Kaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Shafri berkata, setakat ini, lebih RM38 juta kerugian telah direkodkan hasil pelupusan dan kematian 19,285 ekor babi susulan kawalan wabak ASF di negeri ini.

"Dalam tempoh sama, hampir RM5 juta nilai pampasan telah dibayar kepada 16 pengusaha ladang melibatkan 11,536 ekor babi yang terlibat dengan jangkitan ASF," katanya.