Perak rekod hasil RM1.09 bilion

Saarani membentangkan Belanjawan Perak 2024 sempena Mesyuarat Kelima Tahun Pertama DUN Perak di Ipoh pada Jumaat.
Saarani membentangkan Belanjawan Perak 2024 sempena Mesyuarat Kelima Tahun Pertama DUN Perak di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Prestasi kerajaan negeri Perak terus mengukuh apabila kutipan hasil sehingga 25 November 2023 telah mencapai RM1.05 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, susulan itu pentadbiran kerajaan negeri optimis menutup akaun dalam kedudukan surplus pada tahun ini seperti yang dicapai pada tahun lalu.

Menurutnya, penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan hasil ketara iaitu RM1.09 bilion.

"Jumlah itu sekali gus mengulangi pencapaian melebihi angka satu bilion yang pernah direkodkan pada tahun 2019. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan kepada dewan yang mulia ini, belanjawan defisit yang disediakan bagi tahun 2022 telah berjaya ditutup pada kedudukan surplus RM29.6 juta.

"Alhamdulillah, kedudukan kewangan negeri terus mengukuh pada tahun ini apabila kutipan hasil terkini setakat 25 November 2023 telah mencapai angka RM1.05 bilion dan insya-ALLAH akan dapat mengatasi sasaran kutipan hasil pada tahun semasa," katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2024 sempena Mesyuarat Kelima Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Saarani berkata, Perak berjaya merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sepanjang tahun 2022 mencecah RM80.2 bilion dengan pertumbuhan KDNK 4.3 peratus iaitu lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada tahun 2021.

Menurutnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri dengan nilai RM50.7 bilion yang diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, diikuti dengan subsektor penginapan, makanan dan minuman serta utiliti, pengangkutan dan teknologi maklumat (ICT).

Jelasnya, pencapaian tersebut turut didukung oleh peningkatan prestasi sektor pembinaan dan perlombongan yang masing-masing mencatat pertumbuhan 6.1 dan 8.9 peratus selain sektor pembuatan sebanyak 1.0 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus pada separuh pertama tahun ini dan dijangka mencatatkan angka sekitar 4 peratus bagi keseluruhan tahun 2023.

"Berdasarkan unjuran semasa, kerajaan negeri yakin Perak mampu mencapai sasaran pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus tahun ini dengan mengambil kira pemulihan berterusan pasaran kerja, pelaksanaan pesat projek-projek pembangunan serta peningkatan aktiviti pelancongan," katanya.