PRK Kemaman: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

Abdul Ghani (tengah) meninjau persiapan akhir menjelang hari pengundian PRK Kemaman pada Sabtu.
Abdul Ghani (tengah) meninjau persiapan akhir menjelang hari pengundian PRK Kemaman pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu kira-kira 70 peratus.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia berdasarkan trend pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

"Kita berharap pengundi Kemaman dapat keluar mengundi supaya peratusannya dapat ditingkatkan.

"Daripada segi cuaca, Jabatan Meteorologi meramalkan esok hujan tapi kita berdoa supaya tidak terlibat banjir dan limpahan air. Kalau hujan sebegini, tidak ada masalah. Kita teruskan pengundian macam biasa.

"Saya nak berpesan kepada semua pengundi agar membawa kad pengenalan masing-masing dan dapat mengundi pada masa yang digalakkan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan persiapan akhir di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman menjelang hari pengundian pada Sabtu.

Petugas SPR membuat persiapan akhir menjelang hari pengundian pada Sabtu.
Petugas SPR membuat persiapan akhir menjelang hari pengundian pada Sabtu.

Tambah Abdul Ghani, proses menyemak peti-peti undi dan kertas undi yang diedarkan berjalan lancar.

Jelasnya, jumlah keseluruhan petugas SPR yang akan bertugas melebihi 2,000 orang, termasuk anggota polis.

Artikel Berkaitan:

"Pusat mengundi yang terlibat sebanyak 49 dengan 244 saluran. Pegawai Pengurus PRK (Ahmad Farhan Abdul Wahab) kita adalah pengerusi bencana di sini, jadi kita akan buat tindakan segera jika kawasan yang terlibat banjir.

"Selain itu, kita ada sistem yang baharu dan jangka akan dapat keputusan awal. Tapi seperti kebiasaan, sebab nak tunggu peti undi dan sebagainya, saya jangka keputusan akan diperoleh sekitar jam 9 malam," jelasnya.