Malaysia bukan boneka kuasa besar, belanja pertahanan ikut kemampuan - Khaled Nordin

 Mohamed Khaled ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Mohamed Khaled ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus menentukan keutamaan perbelanjaan pertahanannya berdasarkan kemampuan dan kepentingan negara, tanpa tunduk kepada desakan atau syor kuasa besar supaya peruntukan pertahanan negara dinaikkan sehingga lima peratus daripada Keluaran Negara Kasar (GNP).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia bukan boneka mana-mana kuasa besar dan akan terus berpegang kepada dasar berkecuali serta doktrin pertahanan yang mengutamakan perlindungan kedaulatan negara, bukannya untuk tujuan menyerang negara lain.

Beliau berkata, syor meningkatkan perbelanjaan pertahanan itu perlu dilihat dalam konteks kepentingan kuasa besar yang mahu negara lain turut berada di barisan hadapan sekiranya tercetus pertembungan atau konflik ketenteraan.

"Memang ada negara mengesyorkan kepada kita supaya naikkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada GNP. Tujuannya ialah supaya negara kuasa besar itu mahukan bila ada pertembungan, konflik, peperangan, kita ke depan.

"Tapi kita ingin nyatakan bahawa kita bukan boneka mana-mana kuasa besar. Kita bebas, kita berkecuali. Kita belanja dan salurkan peruntukan itu mengikut kemampuan kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohamed Khaled menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung implikasi keselamatan dan ekonomi terhadap negara susulan peningkatan perbelanjaan ketenteraan kuasa besar di rantau Asia Timur.

Beliau berkata, peningkatan belanjawan pertahanan oleh negara serantau merupakan hak masing-masing yang tidak boleh dicampuri atau dihalang Malaysia.

Menjawab soalan asal Jee Keen mengenai situasi dan perkembangan semasa di rantau Asia Pasifik, Mohamed Khaled berkata, kerajaan berpendirian untuk tidak mencampuri dasar pertahanan dan keselamatan negara lain serta menghormati hak setiap negara berdaulat menentukan dasar pertahanan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak bermakna Malaysia tidak memberi perhatian serius dan membuat persediaan sewajarnya memandangkan usaha mengekalkan kestabilan di perairan tersebut rumit dan semakin kompleks.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperkukuh menerusi pendekatan unilateral, iaitu pemodenan aset secara berterusan, pemantapan latihan anggota, memperlihatkan kehadiran yang dibuat melalui rondaan dan pemantauan serta membangunkan daya tahan masyarakat seterusnya membentuk credible deterrence.

Selain kesiagaan domestik, Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut memanfaatkan saluran diplomasi pertahanan pelbagai hala menerusi platform ASEAN bagi memelihara kestabilan serantau.

"Malaysia berpendirian bahawa untuk Asia Tenggara kekal sebagai zon aman, bebas dan berkecuali, kita mesti mengambil pendekatan yang neutral ataupun centrality ASEAN tetapi tegas dan berimbang.

"Mana-mana negara yang ingin berurusan dengan ASEAN perlu menghormati prinsip dan komitmen yang terkandung dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara, dan pada masa yang sama semua negara itu juga mesti menghormati undang-undang antarabangsa terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS),” katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut memperkukuh diplomasi pertahanan dua hala bersama negara sahabat seperti Jepun, Thailand, Australia dan Jerman menerusi perkongsian maklumat, pemindahan kepakaran, pembangunan kapasiti, serta pelaksanaan eksesais dan operasi berjadual bagi meningkat maritime domain awareness.

Sementara itu, beliau berkata, ATM menyasarkan nisbah kekuatan anggota antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak diselaraskan kepada 50:50 berbanding kira-kira 80:20 ketika ini bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.

Beliau berkata, langkah penyelarasan daripada keseluruhan 130,000 anggota tentera itu diambil kira dalam setiap perolehan dan penempatan aset baharu, khususnya bagi melindungi kepentingan sumber ekonomi negara di Laut China Selatan. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!