‘Pasaran buruh Malaysia tidak beri ganjaran sewajarnya’ - Noor Azlan

Masalah gaji dan upah rendah yang diterima rakyat Malaysia disebabkan pasaran buruh negara tidak memberi ganjaran sewajarnya kepada peningkatan produktiviti. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Noor Azlan)
Masalah gaji dan upah rendah yang diterima rakyat Malaysia disebabkan pasaran buruh negara tidak memberi ganjaran sewajarnya kepada peningkatan produktiviti. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Noor Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah gaji dan upah rendah yang diterima rakyat Malaysia disebabkan pasaran buruh negara tidak memberi ganjaran sewajarnya kepada peningkatan produktiviti.

Pakar Ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pertambahan daya pengeluaran amat penting untuk memajukan negara.

“Bagaimanapun, jika majikan tidak meletakkan nilai sewajarnya ke atas produktiviti, usaha untuk meningkatkannya (produktiviti) berkemungkinan tidak akan memberi hasil seperti yang diharapkan.

“Malah dalam jangka panjang, peningkatan produktiviti tidak lagi menjadi keutamaan dalam pembangunan kerjaya,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif akan menjadi satu daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan gaji penengah pekerja sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja (CE), dalam tempoh berbaki Rancangan Malaysia ke-12 serta tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar CE berada pada paras 32 peratus tahun lepas ekoran pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Dalam pada itu, Noor Azlan memaklumkan, intervensi kerajaan yang memerlukan peruntukan fiskal dicadangkan bagi menangani kadar gaji yang rendah yang dibayar kepada pekerja.

“Di samping meningkatkan gaji, secara makro ia juga dijangka meningkatkan kadar CE daripada 32 peratus kepada 40 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025. Pelan Ekonomi Madani mensasarkan CE 45 peratus menjelang 2030.

Artikel Berkaitan:

“Kadar CE tertinggi (37.4 peratus) dicapai pada tahun 2020, kemudian jatuh berikutan krisis pandemik Covid-19. Kini CE 32 peratus iaitu sekitar kadar CE pada tahun 2011. Kita ada lebih kurang dua tahun untuk menaikkannya sebanyak 8 peratus dan itu satu cabaran yang besar,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, penting untuk menangani punca bagi mengatasi masalah dengan berkesan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!