Along Singapura upah rakyat Malaysia buat kerja khianat di 7 negeri

Mohd Yusri menunjukkan nota ugutan yang dirampas daripada suspek yang terlibat dengan sindiket along dari negara jiran itu.
Mohd Yusri menunjukkan nota ugutan yang dirampas daripada suspek yang terlibat dengan sindiket along dari negara jiran itu.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau along yang berpengkalan di Singapura.

Suspek berusia 30-an itu menjadi orang suruhan sindiket negara jiran itu dengan menerima upah sehingga RM1,000 bagi menjalankan kerja khianat di tujuh negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek ditahan dalam serbuan Op Cantas Khas di daerah Sentul, Kuala Lumpur pada Rabu.

"Siasatan mendapati suspek yang merupakan penghutang sindiket sama melakukan jenayah ugut dan khianat dengan api, menyimbah cat merah ke atas harta benda milik mangsa.

Mohd Yusri menunjukkan antara lokasi kegiatan suspek yang dilakukan di tujuh negeri termasuk Perak.
Mohd Yusri menunjukkan antara lokasi kegiatan suspek yang dilakukan di tujuh negeri termasuk Perak.

"Suspek akan menghantar rakaman gambar dan video sebagai bukti setiap kali melakukan tugasan sebelum menerima bayaran menerusi perbankan dalam talian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, suspek mengakui telah terlibat dalam 13 kes khianat di kontinjen Perak dengan anggaran kerugian antara RM500,000 ke RM700,000.

"Suspek juga didapati terlibat dalam kes khianat di kontinjen Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang. Suspek yang mempunyai rekod lampau turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Wira, beberap keping nota ugutan, telefon bimbit, beberapa tong mengandungi bahan bakar dan cat merah serta pakaian," katanya.

Mohd Yusri berkata, suspek direman sehingga Ahad untuk disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!